Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

11 jenis barangan dikawal sempena SHMMP Deepavali 2026

Read Time:1 Minute, 3 Second

LABUAN: Sebanyak 11 jenis barangan keperluan disenaraikan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2026 yang berkuat kuasa selama tujuh hari bermula 4 hingga 10 November ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan, Junaidah Arbain berkata, jumlah itu meningkat berbanding sembilan jenis barangan pada pelaksanaan tahun lalu.

Katanya, dua barangan baharu yang dimasukkan dalam senarai kawalan tahun ini ialah santan kelapa dan ubi kentang dari China.

Menurutnya, penetapan harga maksimum dilaksanakan di peringkat pemborong dan peruncit mengikut kategori barangan serta kawasan pelaksanaan.

“Skim ini bertujuan melindungi kepentingan pengguna dengan memastikan barangan keperluan terpilih dijual pada harga yang berpatutan sepanjang musim perayaan,” katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Beliau berkata, KPDN Labuan turut melaksanakan pemantauan menerusi sesi walkabout di Bataras Hypermarket Labuan bagi memastikan peniaga mematuhi harga maksimum yang ditetapkan.

Pemeriksaan turut memberi tumpuan kepada pemaparan tanda harga khas berwarna merah jambu bagi barangan kawalan serta memastikan bekalan keperluan sentiasa mencukupi dan mudah diperoleh pengguna.

Junaidah berkata, peniaga juga diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barangan sesuka hati dan mematuhi sepenuhnya peraturan sepanjang tempoh pelaksanaan skim.

KPDN Labuan akan terus mempergiat pemeriksaan dan pemantauan di seluruh wilayah itu bagi memastikan kepentingan pengguna terus dilindungi serta pelaksanaan skim berjalan mengikut ketetapan.

LEAVE A RESPONSE