Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

97 peratus murid SK Lago hadir walaupun sekolah dilanda banjir

Read Time:1 Minute, 16 Second

BEAUFORT: Sebanyak 97 peratus murid Sekolah Kebangsaan (SK) Lago di sini hadir mengikuti sesi persekolahan meskipun sekolah berkenaan dilanda banjir sejak 27 Oktober lalu.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Abidin Marjan berkata, sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) tetap diteruskan secara bersemuka dengan menggunakan fasiliti sementara bagi memastikan kelangsungan pendidikan murid tidak terjejas.

Beliau berkata, sesi persekolahan kini dilaksanakan sepenuhnya di Dewan Masyarakat dan surau yang terletak kira-kira 200 meter dari kawasan sekolah.

Menurutnya, inisiatif itu dilaksanakan susulan keadaan sekolah yang masih dilanda banjir akibat air bertakung, laluan terputus, limpahan air sungai besar serta fenomena air pasang laut.

“Usaha ini mendapat sambutan amat luar biasa apabila peratus kehadiran murid mencatatkan sebanyak 97 peratus, membuktikan iltizam tinggi para ibu bapa dan anak-anak,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan selepas mengadakan perbincangan bersama barisan pentadbir, guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) bagi memastikan pengoperasian sekolah di premis sementara itu berjalan lancar dan selamat.

Abidin berkata, langkah berkenaan turut mengambil kira cabaran pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berikutan kekurangan peranti dalam kalangan murid serta ibu bapa.

Katanya, sepanjang sesi persekolahan di premis sementara itu, aspek keselamatan murid sentiasa diberi perhatian, khususnya ketika mereka melintas jalan.

“Keselamatan murid dipantau rapi secara bergilir oleh barisan guru dan AKP, manakala kebajikan mereka terus terjamin apabila Program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) serta perkhidmatan kantin tetap beroperasi seperti biasa,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Datuk Ruslan Muharam serta Pejabat Daerah atas kebenaran dan sokongan membolehkan fasiliti awam digunakan bagi meneruskan sesi persekolahan.

LEAVE A RESPONSE