Read Time:1 Minute, 58 Second
KOTA KINABALU: Bilangan penduduk bukan warganegara di Sabah pada 2025 mencatatkan penurunan sebanyak 0.32 peratus kepada 1.04 juta orang berbanding 1.04 juta orang pada 2024, menerusi kenyataan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Negeri Sabah hari ini.
Maklumat itu berdasarkan penerbitan Statistik Migrasi Antarabangsa 2025 yang dikeluarkan DOSM pada 24 Disember lalu.
Bagi tempoh 1991 hingga 2025, Sabah kekal merekodkan bilangan penduduk bukan warganegara tertinggi berbanding negeri-negeri lain di Malaysia. Peratusan tertinggi dicatatkan pada 1991 iaitu 56.5 peratus bersamaan 453,470 orang, manakala bilangan tertinggi direkodkan pada 2018 dengan seramai 1.16 juta orang.
Pada 2025, anggaran penduduk bukan warganegara di Sabah adalah seramai 1.04 juta orang, namun jumlah tersebut masih lebih rendah berbanding paras tertinggi yang dicatatkan pada 2018.
Tempoh 2020 hingga 2022 menunjukkan perubahan ketara susulan pandemik COVID-19 apabila bilangan penduduk bukan warganegara di Malaysia dan Sabah mencatatkan penurunan, masing-masing kepada 2.56 juta orang dan 780,000 orang pada 2021 berbanding tempoh sebelum pandemik.
Mengikut daerah, Sandakan merekodkan bilangan penduduk bukan warganegara tertinggi pada 2025 iaitu 195,100 orang, diikuti Tawau (142,900 orang) dan Kota Kinabalu (125,400 orang).
Dari segi komposisi penduduk, Kinabatangan mencatatkan peratusan penduduk bukan warganegara tertinggi iaitu 72.9 peratus, diikuti Kalabakan (69.3 peratus) dan Kunak (53.4 peratus).
Sementara itu, kadar pertumbuhan tahunan penduduk bukan warganegara di Kota Kinabalu meningkat kepada 2.9 peratus pada 2025 berbanding 1.6 peratus pada 2024, didorong pemulihan pasca pandemik COVID-19 susulan pembukaan semula sektor ekonomi dan pendidikan yang menyaksikan kemasukan tenaga kerja serta pelajar antarabangsa.
Bagaimanapun, jumlah penduduk bukan warganegara di Kota Kinabalu pada 2025 masih lebih rendah berbanding paras tertinggi yang dicatatkan pada 2018 iaitu 144,700 orang.
DOSM memaklumkan, anggaran penduduk bukan warganegara 2025 disusun berdasarkan anggaran pertengahan tahun bagi tempoh Julai 2024 hingga Jun 2025, berasaskan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 menggunakan konsep de jure, iaitu individu yang telah atau akan menetap sebagai ahli biasa isi rumah selama enam bulan atau lebih di tempat tinggal biasa mereka.
Konsep pengukuran ini tidak mengambil kira daytime dan nighttime population, iaitu individu yang berada di sesuatu kawasan pada waktu siang atau malam tanpa menetap secara tetap, yang lazimnya menyumbang kepada peningkatan sementara jumlah penduduk khususnya di kawasan bandar bagi urusan bekerja, perniagaan, membeli belah, berurusan dengan agensi kerajaan/ swasta, melancong, melawat saudara mara/ sahabat dan lain-lain urusan harian.








