Read Time:1 Minute, 42 Second
Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) menetapkan hala tuju strategik bagi memperkasa keupayaan dan kapasiti organisasi menjelang tahun hadapan, selaras dengan peruntukan dan perancangan di bawah Belanjawan Negeri 2026.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, inisiatif itu memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat melalui pengukuhan perjawatan serta pelaksanaan latihan secara berterusan kepada warga kerja jabatan itu.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan organisasi sentiasa bersedia menghadapi cabaran semasa dan masa hadapan, di samping meningkatkan profesionalisme, kecekapan pentadbiran serta kualiti perkhidmatan yang disampaikan kepada rakyat.
“Pemerkasaan perjawatan dan latihan berterusan merupakan antara teras utama dalam perancangan JHEAINS bagi memastikan setiap pegawai mempunyai kemahiran, pengetahuan dan keupayaan yang relevan dengan keperluan semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini pada Rabu.
Arifin berkata, JHEAINS turut menekankan pembangunan modal insan sebagai aset utama organisasi, dengan pendekatan latihan yang bersifat menyeluruh dan berfokus kepada peningkatan kompetensi, tadbir urus berintegriti serta penggunaan teknologi dalam penyampaian perkhidmatan.
Katanya, langkah memperkasa keupayaan organisasi ini juga dilihat seiring usaha kerajaan negeri untuk memperkukuh institusi pentadbiran Islam agar lebih cekap, responsif dan berdaya saing, selaras aspirasi pembangunan negeri dan keperluan masyarakat Islam di Sabah.
Menurutnya, melalui perancangan strategik tersebut, JHEAINS optimis mampu meningkatkan keberkesanan pelaksanaan dasar dan program berkaitan hal ehwal Islam, sekali gus memberi impak positif kepada kesejahteraan ummah serta keharmonian masyarakat menjelang tahun 2026.
Dalam pada itu, Arifin berkata, JHEAINS dengan kerjasama Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) sentiasa komited dalam memperkukuh institusi kekeluargaan Islam sebagai asas kepada kesejahteraan masyarakat dan kestabilan sosial di Negeri Sabah.
Katanya, kerajaan negeri sedang meneliti secara berperingkat cadangan pemberian subsidi yuran Kursus Pra Perkahwinan Islam khususnya kepada golongan berpendapatan rendah dan pasangan muda yang bakal mendirikan rumah tangga.
Menurutnya, inisiatif ini bertujuan meringankan beban kewangan di samping memastikan setiap bakal pengantin mendapat pendedahan ilmu kekeluargaan, tanggungjawab dan kefahaman syariah yang mencukupi sebelum melangkah ke alam perkahwinan. – SABAH MEDIA






