Inkues Zara: Saksi Keenam Nafi Unsur Buli, Kecederaan Konsisten Akibat Jatuh – Peguam Bela – Sabah News
KOTA KINABALU: Pasukan peguam bela kanak-kanak yang didakwa terlibat dalam kes buli Allahyarhamah Zara Qairina tampil memberikan reaksi selepas prosiding hari ketujuh inkues di Mahkamah Koroner pada Jumaat.
Peguam Azhier Farhan Arisin berkata, saksi keenam iaitu pengawal keselamatan sekolah menafikan dakwaan bahawa Zara pernah dimasukkan ke dalam mesin basuh seperti yang pernah diperkatakan sebelum ini.
“Saksi mengesahkan tiada pelajar ditemui dalam mesin basuh ketika rondaan, dan Zara tidak pernah dimasukkan ke dalam mesin basuh,” katanya.
Beliau turut menambah, saksi itu menyatakan bahawa sepanjang rondaan malam kejadian, tiada sebarang perlakuan mencurigakan berlaku.
“Tidak ada pelajar dipukul, dihina, atau dibuli. Apa yang berlaku hanyalah selepas beliau diberitahu seorang pelajar bahawa Zara ditemui jatuh ke dalam longkang,” jelasnya.
Sementara itu, peguam Joan Goh memaklumkan, telefon bimbit saksi telah diserahkan kepada polis dan semasa dibuka semula di mahkamah, didapati terdapat gambar ambulans yang membawa Zara sekitar jam 4.14 pagi.
“Gambar itu telah disahkan saksi dan diserahkan kepada mahkamah. Namun, laporan rondaan yang dibuat pada malam kejadian tidak lagi wujud dalam telefon tersebut. Isu ini mungkin akan dijelaskan oleh pegawai penyiasat nanti,” katanya.
Datuk Ram Singh pula menekankan bahawa keterangan saksi selari dengan penemuan forensik.
Menurutnya, saksi pertama kali melihat Zara dalam keadaan berlumuran darah di longkang, dengan kecederaan ketara di bahagian belakang kepala.
“Saksi nampak kecederaan di belakang kepala, konsisten dengan apa yang dilaporkan pakar patologi, Dr Jessie. Walaupun dalam keadaan hujan, beliau perasan darah di lokasi kejadian,” katanya.
Azhier Farhan menambah, saksi juga melihat kecederaan serius pada bahagian kaki dengan tulang terkeluar.
“Ia konsisten dengan dapatan Dr Jessie semasa bedah siasat. Malah, saksi mengesahkan kesan darah masih kelihatan pada simen di lokasi,” ujarnya.
Ram Singh sekali lagi menegaskan bahawa keterangan saksi menyokong teori bahawa Zara mengalami kecederaan akibat jatuh dari tingkat atas.
“Saksi tidak pasti dari tingkat berapa, tetapi beliau tahu dorm Zara berada di tingkat tiga. Keterangan ini mengukuhkan teori bahawa kecederaan dialami adalah akibat jatuh, sebagaimana pandangan pakar patologi,” katanya.
Prosiding inkues akan bersambung minggu depan dengan mendengar keterangan saksi baharu termasuk doktor dari Hospital Queen Elizabeth serta seorang saksi kanak-kanak.