Read Time:2 Minute, 58 Second
Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Tidak adil Allayarhamah Zara Qairina dituduh mencuri tanpa siasatan daripada pihak sekolah, kata saksi dalam inkes kematian Zara.
Malah, saksi sendiri pernah kehilangan barang peribadi dan mengetahui siapa yang mencurinya.
“Pelajar tersebut berjanji untuk mengganti balik barang saksi yang dicuri tapi tidak juga diganti. Saksi juga pernah maklumkan kepada cikgu kelas mengenai kecurian barang saksi,” kata peguam Joan Goh yang mewakili salah seorang daripada lima pelajar yang didakwa berkaitan dengan kes Zara Qairina.
Menurut Joan, saksi mengenali Zara kerana mereka tinggal di blok yang sama dan mengetahui bahawa Zara seorang yang sopan, dan happy-go-lucky.
Zara tidak ada menunjukkan tanda-tanda ada masalah mental, sedih atau murung.
“Saksi selalu nampak Zara membawa Al-quran dan dia selalu baca Al-quran di Musollah. Zara juga pelajar junior yang menyerlah di sekolah, rajin dan suka membantu Badar sepanjang perkenalan dengan Zara,” katanya.
Joan berkata, saksi tampil memberi keterangan secara sukarela atas nasihat ibu bapa saksi kerana mereka berasa bertanggungjawab untuk membantu siasatan.
“Saksi tidak mahu merahsiakan perkara yang saksi tahu dan tidak mahu menyesal sekiranya saksi memendamkan maklumat tersebut,” katanya sambil menambah saksi ke-44 ini dipanggil oleh pasukan guaman ibu Zara.
Saksi mendedahkan bahawa sepanjang berada di asrama, pelajar senior menjaga junior, dan junior disuruh menghormati serta tidak melawan senior. Terdapat sebuah dorm yang menjadi tempat lepak pelajar senior dan menyimpan telefon bimbit di atas siling.
Menurut saksi sekiranya ada warden malam itu bertugas, kejadian yang menimpa Zara tidak akan berlaku.
Mahkamah juga diberitahu bahawa pada minggu peperiksaan pertengahan tahun sekitar Mei 2025, Zara pernah meminjam kad “calling” saksi untuk menghubungi ibunya.
“Saksi terdengar Zara mengadu kepada ibunya mengenai seorang pelajar senior dan geng-geng dia bercakap buruk tentang dirinya.” Kata Joan.
Pada malam 15 Julai, saksi berkata semasa mencuci pakaian di aras bawah bersama rakan apabila seorang pelajar turun ke tingkat tersebut menuju ke tandas dan menjerit, “Emergency! Emergency! Dompet (nama pelajar) hilang!”
Semasa itu saksi juga dengar yang pelajar itu memberitahu kalau dompet pelajar itu tidak dijumpai emak pelajar itu akan pindahkan pelajar itu sekolah.
Selepas itu, pelajar itu naik semula ke aras tiga dan memberitahu pelajar asrama mengenai kehilangan dompet.
Tidak lama kemudian, pelajar itu turun semula dan apabila ditanya, pelajar itu memberitahu saksi bahawa dompet telah dijumpai dan menuduh Zara yang mencurinya.
“Pada malam itu, saksi dan seorang lagi pelajar semasa hendak ’spin’ baju, Saksi ada terdengar ada pelajar bercakap buruk pasal Zara.
Seingat saksi mereka cakap Zara Sok-Sok Badar. Saksi diberitahu oleh rakan saksi bahawa Zara telah dipanggil ke sebuah dorm dan dimarahi oleh pelajar Tingkatan 4.
“Selepas kejadian itu Zara menangis dan dikatakan ada meminjam gunting daripada rakan dormnya.”
Pada subuh 16 Julai, saksi ternampak beberapa pelajar berkumpul di koridor sambil melihat ke bawah dan ternampak ambulans di kawasan asrama.
Mereka tidak dibenarkan turun kerana ambulans masih berada di situ.
Saksi turut terserempak dengan seorang pelajar senior di tangga dan perasan wajahnya kelihatan sedih.
“Seingat Saksi, pada minggu tersebut, Abih ada membuat pengumuman yang pelajar dilarang menghubungi ibu bapa dan arahan tersebut adalah arahan daripada pengetua. Larangan tersebut adalah selama dua hari daripada 16 Julai sehingga 18 Julai.
“Mereka hanya dibenarkan menghubungi ibu bapa pada jam 10 malam hari Jumaat sebab aunty Linah rimas ramai pelajar meminjam telefonnya. Disebabkan itu, aunty Linah bertanya kepada Ustaz Azhari bagi pelajar menghubungi ibu bapa. Suasana pada masa itu takut dan ramai pelajar menangis,” kata Joan.
Pada 17 Julai, hari Khamis, pelajar asrama dari dua bilik telah dipanggil secara bergilir-gilir dan disoal siasat oleh Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PKHEM).
Inkues bersambung esok.






