Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Lelaki dipenjara 5 tahun rompak bekas kekasih di Penampang

Read Time:1 Minute, 59 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah merompak bekas teman wanitanya.

Hakim Elsie Primus menjatuhkan hukuman terhadap Mohd Asroy Adonara Andfensus @ Darmasah, 32, selepas tertuduh menukar pengakuannya kepada bersalah pada hari perbicaraan sepatutnya bermula, hari ini.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Asroy telah melakukan samun terhadap seorang wanita dengan mengambil sebuah beg milik mangsa yang mengandungi sebuah dompet warna hitam jenama Charles Keith dan sebuah buah telefon bimbit jenis IPhone 13 Pro Max warna biru pada 2 Jun, jam 10.55 malam di sebuah bilik rumah sewa Taman Starland, Penampang.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai 14 tahun, dan hendaklah juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Mahkamah turut memerintahkan Mohd Asroy menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapannya.

Semasa rayuan, Mohd Asroy yang tidak diwakili peguam meminta hukuman ringan sambil mendakwa dirinya menghidap penyakit psikiatri dan kadangkala berasa ingin membunuh diri.

Tertuduh turut memberitahu mahkamah bahawa dia mempunyai tiga orang anak yang kini dijaga ibunya, serta sudah berada dalam tahanan selama sembilan bulan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Shafeerah Mad Iskim memohon agar hukuman berat dikenakan, dengan alasan bahawa kesalahan itu serius kerana tertuduh menggunakan kekerasan yang menyebabkan mangsa trauma, mengalami kecederaan dan kerugian kira-kira RM4,000.

Menurut fakta kes, semasa kejadian, mangsa mendengar bekas teman lelakinya memanggilnya keluar dari rumah, namun adik mangsa menasihatinya supaya tidak keluar.

Mangsa kemudian mengunci pagar rumah menggunakan alat kawalan jauh. Tidak lama kemudian, tertuduh memanjat pagar rumah dan masuk ke dalam rumah, menyebabkan mangsa menutup pintu biliknya dengan segera.

Tiba-tiba pintu bilik mangsa ditendang dengan kuat dan apabila pintu terbuka tertuduh menghampirinya sambil menarik rambut, mengheret dan menolak badan pengadu sehingga dia terjatuh di lantai dan mengalami kecederaan di bahagian lutut kiri.

Tertuduh marah dan mengatakan banyak menghabiskan duitnya dan inikah balasan pengadu kepadanya.

Pada masa kejadian, adik mangsa dan teman lelakinya turut berada di tempat kejadian dan menyaksikan insiden itu. Teman lelaki adik mangsa cuba meleraikan pergaduhan namun turut dipukul di bahagian muka, tangan dan kaki oleh tertuduh.

Selepas itu, tertuduh melarikan diri dengan membawa beg tangan hitam milik mangsa yang berisi kad pengenalan, wang tunai kira-kira RM170, kad debit Bank Islam dan telefon bimbit iPhone 13 Pro Max bernilai RM3,400.

Tertuduh kemudiannya ditangkap susulan laporan polis yang dibuat oleh mangsa.

LEAVE A RESPONSE