Read Time:1 Minute, 6 Second
SEMPORNA: Sebanyak 600 liter petrol dirampas dalam tindakan di perairan Kampung Halo, di sini, yang turut membawa kepada penahanan seorang lelaki tanpa dokumen diri.
Kes berkenaan diserahkan Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna susulan tangkapan yang dibuat kira-kira jam 11.30 pagi, kelmarin.
KPDN Sabah dalam kenyataan berkata, pihak berkuasa merampas 24 jeriken berisi petrol dengan jumlah keseluruhan 600 liter, sebuah bot laju berwarna putih serta sebuah enjin Yamaha Enduro berkuasa 40 HP.
Nilai keseluruhan barang kawalan yang dirampas berjumlah RM2,292.
Susulan itu, KPDN Cawangan Semporna membuka satu kertas siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Lelaki berkenaan direman selama empat hari bagi membantu siasatan,” menurut kenyataan itu hari ini.

KPDN memberi amaran kepada mana-mana individu atau syarikat supaya sentiasa mematuhi perundangan yang ditetapkan.
Mana-mana pihak yang melakukan kesalahan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan, individu boleh didenda tidak melebihi RM1 juta bagi kesalahan pertama dan tidak melebihi RM3 juta bagi kesalahan berikutnya atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagi syarikat, denda tidak melebihi RM2 juta boleh dikenakan bagi kesalahan pertama dan tidak melebihi RM5 juta bagi kesalahan berikutnya.
Sebarang aduan dan pertanyaan berkaitan isu kepenggunaan dan penguatkuasaan boleh disalurkan melalui saluran rasmi KPDN.






