Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Disyaki ugut cederakan isteri, lelaki ditahan bantu siasatan

TAWAU: Seorang lelaki berusia 39 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan selepas disyaki mengugut untuk mencederakan isterinya dalam kejadian di sebuah hospital, di sini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, kejadian berlaku ketika mangsa berada di tempat kerjanya di hospital berkenaan.

Katanya, suspek yang juga suami mangsa datang ke lokasi dan didakwa mengugut untuk mencederakan isterinya selepas mangsa dikatakan tidak mengikut arahannya.

“Siasatan turut mendapati suspek menghantar pesanan suara melalui WhatsApp yang mengandungi ugutan terhadap keselamatan mangsa.

“Mangsa yang bimbang dan takut terhadap keselamatannya berikutan gangguan serta ancaman dari semasa ke semasa kemudian membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Susulan laporan itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menahan suspek di sebuah bilik sewa di sini.

Polis turut merampas sebuah telefon bimbit berwarna putih berserta kad SIM yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

Wilynton berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk merakam percakapan suspek, mangsa dan saksi berkaitan serta melengkapkan kertas siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak memandang ringan sebarang bentuk ugutan atau ancaman terhadap keselamatan diri dan segera membuat laporan polis bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.

LEAVE A RESPONSE