Read Time:1 Minute, 38 Second
KOTA KINABALU: Seramai 12 pemimpin dan penganjur utama kumpulan Jemaah Ahmadiyah Qadiani ditahan dalam operasi khas Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke atas satu program yang dikaitkan dengan ajaran yang telah difatwakan sesat di Sabah.
Turut ditahan dalam operasi itu ialah 288 ahli jemaah yang dipercayai menghadiri Program Jalsa Salana Wilayah Sabah Ke-32 yang berlangsung dari 29 hingga 31 Mei lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, operasi berkenaan dijalankan susulan aduan awam yang diterima JHEAINS pada 28 Mei lalu berhubung penganjuran program terbabit.
Menurutnya, hasil semakan mendapati program itu mempunyai kaitan dengan Jemaah Ahmadiyah Qadiani yang telah difatwakan sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam oleh Jawatankuasa Majlis Fatwa Negeri Sabah serta diwartakan pada tahun 2007.
“Program berkenaan turut dihadiri kepimpinan tertinggi Jemaah Ahmadiyah Muslim Malaysia (JAMM) serta ahli-ahli dari beberapa daerah di Sabah.
“Seramai 300 individu ditahan bagi membantu siasatan, terdiri daripada 12 pemimpin dan penganjur utama serta 288 ahli jemaah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut merampas 24 helai banting yang memaparkan pengasas dan pemimpin tertinggi Jemaah Ahmadiyah Qadiani.
Selain itu, kira-kira 200 buah buku dan bahan bacaan berkaitan ajaran berkenaan, dokumen program, senarai kehadiran, bahan penerbitan serta pelbagai dokumen yang mempunyai kaitan dengan aktiviti kumpulan terbabit turut dirampas.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 52(1), Seksyen 52A dan Seksyen 102 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah 1995.
“Kesemua individu yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut oleh JHEAINS sebelum dibebaskan dengan jaminan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan panduan agama daripada sumber yang sahih dan diiktiraf serta merujuk pihak berkuasa agama sekiranya mempunyai sebarang keraguan berkaitan ajaran atau fahaman agama yang disebarkan.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang didapati menyeleweng daripada ajaran Islam,” katanya.






