Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

23 warga asing dipenjara, 4 didenda langgar Akta Imigresen

Read Time:1 Minute, 33 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Seramai 27 warga asing dijatuhi hukuman oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen.

Daripada jumlah itu, 18 warga Filipina didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki negara ini tanpa pas yang sah.

Seramai 17 daripada mereka dipenjara empat bulan dari tarikh tangkap, manakala seorang lagi didenda RM4,000 atau empat bulan penjara jika gagal membayar denda. Tertuduh bagaimanapun telah menjelaskan denda berkenaan.

Seksyen 6(1)(c) memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda sehingga RM10,000, jika sabit kesalahan.

Tujuh lagi warga asing dijatuhi hukuman kerana tinggal lebih masa di Malaysia mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Daripada jumlah itu, tiga masing-masing didenda RM10,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda. Kesemua mereka gagal menjelaskan denda. Empat lagi dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dari tarikh tangkap atas kesalahan sama.

Seksyen 15(1)(c) memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Selain itu, dua wanita warga Filipina dipenjara keseluruhan 10 bulan selepas didapati bersalah memasuki negara ini tanpa pas yang sah dan memasuki semula negara ini tanpa dokumen yang sah selepas dihantar pulang ke negara asal.

Kesalahan memasuki semula negara ini tanpa dokumen yang sah selepas dihantar pulang didakwa mengikut Seksyen 36 Akta Imigresen 1959/63, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali, serta boleh dikenakan sehingga enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah turut memerintahkan semua tertuduh yang dijatuhi hukuman dirujuk semula kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi tindakan lanjut selepas selesai menjalani hukuman masing-masing.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syarifah Nursyuhada Tuan Mamat bersama Pegawai Pendakwa Gressia Yolanda Ismail Uvaraj, Chin Tze Mee, Kamrul Md Yusof dan Norhayati Abd Hari.

LEAVE A RESPONSE