Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

172 PATI Filipina dipindahkan pulang ke negara asal

Read Time:1 Minute, 50 Second

KOTA KINABALU: Seramai 172 tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Filipina dihantar pulang ke negara asal menerusi program pemindahan melalui laut yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah.

Kesemua tahanan terbabit dipindahkan dari Depot Imigresen Tawau melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Lahad Datu ke Pelabuhan Bongao, Filipina menggunakan feri komersial.

JIM Sabah dalam kenyataan berkata, kesemua tahanan PATI terdiri daripada 129 lelaki dewasa, 25 perempuan dewasa, lapan kanak-kanak lelaki dan 10 kanak-kanak perempuan berusia antara satu hingga 63 tahun.

Kanak-kanak yang menyertai program pemindahan berkenaan turut diiringi ibu bapa atau pengiring masing-masing.

Sebelum itu, pada 1 September lalu, Depot Imigresen Kota Kinabalu melaksanakan pemindahan seorang lelaki dewasa warga China melalui penerbangan terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) ke Guangzhou, China.

Pada 27 Ogos lalu, enam lelaki dewasa warga China turut dipindahkan dari Depot Imigresen Tawau melalui penerbangan terus dari Lapangan Terbang Tawau ke Guangzhou.

Pada tarikh sama, JIM Sabah melaksanakan pemindahan tujuh lelaki dewasa dari Depot Imigresen Kota Kinabalu melalui KKIA dengan transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ia membabitkan dua warga Pakistan yang dihantar ke Lahore, Pakistan; dua warga India ke Tiruchirappalli, India dan tiga warga Vietnam ke Ho Chi Minh, Vietnam.

Depot Imigresen Papar pula melaksanakan pemindahan seorang lelaki dewasa warga India melalui KKIA dengan transit di KLIA sebelum meneruskan perjalanan ke Tiruchirappalli, India pada tarikh sama.

“Sehingga ke hari ini, seramai 3,197 orang tahanan PATI warganegara Filipina, warganegera Indonesia seramai 1,471 orang, warganegara Pakistan seramai 120 orang, warganegara China seramai 116 orang, warganegara Vietnam seramai 21 orang dan lain-lain warganegara seramai 22 orang daripada jumlah keseluruhan iaitu 4,947 tahanan PATI telah dipindahkan ke negara asal.

“Kesemua tahanan PATI telah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan dan mempunyai Travel Document (TD) yang sah untuk melayakkan diri mengikuti proses pemindahan tahanan asing ke negara asal,” menurut kenyataan itu, hari ini.

JIM Sabah turut menyeru semua pihak supaya lebih peka terhadap persekitaran dalam komuniti dan tidak bersekongkol melindungi atau menggaji PATI.

Orang ramai juga diminta segera melaporkan kegiatan PATI melalui saluran rasmi JIM Sabah menerusi portal Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) atau Sistem Pertanyaan Online (SPO).

LEAVE A RESPONSE