Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

PKOB Negeri dan tiga daerah di Sabah diaktifkan susulan peningkatan IPU

Read Time:1 Minute, 55 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah mengaktifkan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Negeri serta PKOB di Kota Kinabalu, Keningau dan Papar susulan peningkatan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang menghampiri paras 200.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Zainudin Aman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), berkata perkara itu telah dimaklumkan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor, hari ini

Menurutnya, pelan tindakan yang dilaksanakan mengikut kawasan adalah berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.

Zainudin

“Pelan tindakan mengikut kawasan ini adalah berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan,” katanya dalam kenyataan media di sini pada Rabu.

Berdasarkan bacaan setakat jam 5 petang pada Selasa, Kota Kinabalu merekodkan IPU 177, diikuti Keningau (165), Kimanis, Papar (166), Tawau (153) dan Politeknik Kota Kinabalu (153).

Kesemua kawasan berkenaan berada dalam kategori tidak sihat.

Petugas PKOB daerah Kota Kinabalu yang bertugas di Bilik Operasi Tingkat 1 Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) – Foto Ihsan DBKK

Zainudin berkata peningkatan bacaan IPU itu dipengaruhi pergerakan angin yang menghala ke Sabah dan dijangka terus meningkat secara konsisten selagi tiada hujan berlaku di Kalimantan.

Beliau berkata berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, Kota Kinabalu, Tawau, Keningau, Kimanis dan Politeknik Kota Kinabalu dikategorikan dalam tahap Amaran 1A.

“Bagi tahap Amaran 1A, antara tindakan yang ditetapkan ialah menghentikan aktiviti di luar bilik darjah, menangguhkan aktiviti kokurikulum dan sukan, memberikan hebahan kepada orang awam berkenaan bacaan IPU serta langkah berjaga-jaga.

Data maklumat berhubung IPU di PKOB daerah Kota Kinabalu – Foto Ihsan DBKK

“Selain itu, penguatkuasaan akan ditingkatkan dan pemantauan terhadap industri serta tapak pelupusan sampah akan dipergiatkan,” katanya.

Dalam pada itu, Zainudin berkata pengisytiharan darurat atau bencana jerebu hanya akan dilaksanakan apabila bacaan IPU mencecah 500 dan ke atas.

Beliau turut mencadangkan supaya semua aktiviti rasmi Kerajaan Negeri dibatalkan atau ditangguhkan sekiranya bacaan IPU mencapai atau melebihi 200.

Bagaimanapun, katanya, aktiviti yang dijalankan di dalam bangunan masih dibenarkan.

“Kerajaan Negeri juga akan mengesyorkan agar sekolah-sekolah di kawasan yang mencapai bacaan IPU 200 atau lebih ditutup dan pembelajaran dilaksanakan dari rumah,” katanya.

Pada masa sama, beliau mencadangkan supaya solat hajat diadakan di setiap daerah bagi umat Islam sebagai salah satu usaha memohon perlindungan dan kesejahteraan daripada keadaan jerebu yang melanda.

“Pada masa yang sama, rumah-rumah ibadah agama lain turut disarankan untuk melaksanakan aktiviti keagamaan yang bersesuaian mengikut kepercayaan dan amalan masing-masing,” katanya.

LEAVE A RESPONSE