KOTA KINABALU : Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menghulurkan kurniaan peribadi bagi membantu keluarga yang terjejas dalam tragedi kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan.
Seri Paduka Baginda menerusi hantaran di Facebook rasmi, bertitah sumbangan akan disampaikan menerusi Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) dalam meringankan beban keluarga-keluarga yang terlibat dalam tragedi berkenaan.
Justeru, Seri Paduka Baginda menitahkan YSIJ bagi menghubungi Kerajaan Negeri Sabah dalam memastikan sumbangan berkenaan dapat disalurkan kepada keluarga-keluarga yang terlibat.
“Ramai yang kehilangan tempat tinggal dalam tragedi ini.
“Saya mendoakan agar mangsa kebakaran diberikan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi dugaan yang menimpa mereka,” titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office pada Rabu.






