Read Time:1 Minute, 41 Second
KUALA LUMPUR: Golongan warga emas dan penduduk di kawasan pedalaman turut terdedah menjadi mangsa jenayah siber, termasuk penipuan digital yang mengakibatkan kerugian besar kepada mangsa.
Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah berkata, ancaman jenayah siber ketika ini tidak lagi terhad kepada golongan tertentu, sebaliknya turut menjejaskan masyarakat luar bandar dan warga emas yang kurang terdedah kepada risiko penipuan dalam talian.
Menurutnya, beliau sendiri melihat bagaimana ada mangsa kehilangan simpanan seumur hidup selepas diperdaya sindiket penipuan digital atau scammer yang menggunakan pelbagai taktik licik.
“Saya melihat bagaimana ada yang kehilangan simpanan seumur hidup kerana menjadi mangsa penipuan digital atau disebut scammer.
“Saya melihat warga emas menangis kerana wang persaraan lesap dalam beberapa minit angkara scammer ini. Mereka inilah yang wajib kita lindungi,” katanya ketika membahas Rang Undang-Undang Jenayah Siber di Dewan Rakyat, di sini pada Rabu.
Matbali berkata, perkembangan teknologi dan pendigitalan yang semakin meluas turut membuka ruang kepada penjenayah siber untuk menyasarkan lebih ramai mangsa, termasuk mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.
Katanya, ancaman itu perlu dipandang serius kerana kesannya bukan sahaja melibatkan kerugian kewangan, malah menjejaskan kesejahteraan hidup mangsa yang kehilangan wang simpanan, hasil pencen dan sumber pendapatan keluarga.
Beliau menegaskan, negara memerlukan kerangka undang-undang yang lebih menyeluruh dan berkesan bagi menangani ancaman jenayah siber yang semakin canggih, termasuk penipuan digital, kecurian identiti dan manipulasi kandungan.
Menurutnya, Rang Undang-Undang Jenayah Siber yang dibentangkan itu penting sebagai benteng undang-undang untuk melindungi rakyat, khususnya golongan rentan yang mudah menjadi sasaran sindiket jenayah siber.
“Dalam mengharungi derasnya arus pendigitalan, negara memerlukan sebuah benteng undang-undang yang bukan sahaja kukuh menahan gelombang ancaman, tetapi juga bijaksana memelihara hak rakyat,” katanya.
Beliau berkata, perlindungan terhadap rakyat dalam ruang siber kini menjadi tanggungjawab bersama memandangkan ancaman jenayah masa kini tidak lagi datang secara fizikal, sebaliknya menerusi telefon bimbit, komputer dan pelbagai platform digital.
Sehubungan itu, beliau berharap Rang Undang-Undang Jenayah Siber dapat memperkukuh keupayaan negara membanteras jenayah berkenaan, sekali gus memastikan golongan warga emas, masyarakat luar bandar dan semua lapisan rakyat tidak terus menjadi mangsa penipuan digital.






