Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Sukan KePKAS ke-10 satukan warga kementerian, agensi

Read Time:2 Minute, 8 Second

KOTA KINABALU: Penganjuran Sukan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) Kali Ke-10 Tahun 2026 berupaya menyatukan warga kementerian serta agensi di bawahnya melalui semangat kesukanan, kerjasama dan kebersamaan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, kejohanan itu bukan sekadar medan pertandingan, sebaliknya menjadi wadah untuk merapatkan hubungan, membina persefahaman dan menyemai semangat kekitaan dalam kalangan seluruh warga KePKAS.

Beliau berkata, penganjuran edisi ke-10 itu mempunyai makna yang cukup istimewa kerana melambangkan kematangan sebuah tradisi yang telah menyatukan warga kementerian dan agensi di bawah KePKAS sejak sekian lama.

“Sepuluh siri penganjuran bukan sekadar satu pencapaian angka, tetapi melambangkan kematangan sebuah tradisi yang telah menyatukan warga kementerian dan agensi di bawah KePKAS selama hampir dua dekad.

“Sepanjang tempoh tersebut, kejohanan ini telah menjadi lebih daripada sekadar medan pertandingan. Ia menjadi wadah yang merapatkan hubungan, membina persefahaman dan menyemai semangat kekitaan dalam kalangan warga kementerian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Perasmian Sukan Peringkat Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Kali Ke-10 Tahun 2026 di Stadium Pusat Sukan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini pada Rabu.

Jafry berkata, ramai dalam kalangan warga kementerian yang pada awalnya bermula sebagai rakan sekerja akhirnya menjadi sahabat melalui hubungan yang dibina sepanjang penganjuran sukan berkenaan.

Katanya, hubungan yang terjalin di gelanggang inilah yang kemudiannya memperkukuhkan kerjasama di tempat kerja dan membantu membentuk sebuah organisasi yang lebih mantap serta harmoni.

“Inilah nilai sebenar sukan. Ia menyatukan manusia tanpa mengira jawatan, pangkat mahupun latar belakang. Apabila wisel dibunyikan, kita semua berdiri sebagai satu pasukan yang berkongsi matlamat yang sama, iaitu untuk memberikan yang terbaik,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan sesebuah kementerian tidak hanya bergantung kepada kehebatan individu, sebaliknya dibina melalui kekuatan pasukan yang saling melengkapi dan saling mempercayai antara satu sama lain.

Menurutnya, apabila wujud kepercayaan, komunikasi yang baik dan semangat kebersamaan, segala cabaran dapat dihadapi dengan lebih yakin dan setiap matlamat organisasi dapat dicapai dengan lebih berkesan.

Dalam pada itu, beliau berharap temasya sukan berkenaan akan terus menjadi medan membina sinergi, memperluaskan jaringan kerjasama dan mengeratkan hubungan antara jabatan serta agensi di bawah KePKAS.

“Saya berharap agar setiap kontinjen menjadikan temasya ini sebagai peluang untuk membina sinergi, persahabatan baharu, memperluaskan jaringan kerjasama dan mengeratkan hubungan antara jabatan serta agensi di bawah KePKAS,” katanya.

Jafry turut merakamkan penghargaan kepada Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah selaku penganjur serta semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan temasya sukan itu.

Katanya, kejayaan penganjuran tersebut membuktikan semangat kerjasama yang tinggi dalam kalangan seluruh warga KePKAS dan diharap dapat terus diterjemahkan dalam setiap program, dasar serta perkhidmatan kepada rakyat Sabah.

LEAVE A RESPONSE