Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Cuba jual cincin emas palsu, wanita dipenjara dan didenda

Read Time:1 Minute, 29 Second

KOTA KINABALU: Seorang pelayan restoran yang cuba memperdaya pekerja kedai emas dengan menjual sebentuk cincin palsu sebagai emas tulen dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Tertuduh, Binah Warajid, yang tidak memiliki dokumen, juga dikenakan denda RM1,000 atau 14 hari penjara sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan menjatuhkan hukuman itu terhadap Binah selepas tertuduh mengaku bersalah melakukan cubaan penipuan terhadap seorang lelaki di Kedai Emas Jesselton, 1 Borneo Hypermall, kira-kira jam 2 petang pada 4 Ogos lalu.

Binah cuba memperdayakan lelaki berkenaan untuk mempercayai bahawa sebentuk cincin yang ingin dijual kepadanya adalah barang kemas yang diperbuat daripada emas tulen dan dengan itu cuba mendorong lelaki itu menyerahkan wang tunai kepadanya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dirujuk kepada Jabatan Imigresen selepas menjalani hukuman.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama.

Seksyen 420 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan boleh dikenakan denda, manakala Seksyen 511 memperuntukkan tempoh penjara tidak melebihi separuh daripada hukuman penjara maksimum bagi kesalahan asal.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh memasuki premis berkenaan ketika pengadu sedang bekerja dan menyatakan mahu menjual sebentuk cincin emas.

Pemeriksaan lanjut mendapati tertuduh adalah individu yang pernah tular dalam kumpulan WhatsApp kedai berkenaan kerana beberapa kali cuba menjual barang kemas palsu di semua cawangan Kedai Emas Jesselton.

Tertuduh juga pernah beberapa kali diberi peluang dan dilepaskan dengan amaran, termasuk pada 24 Jun lalu di kedai emas di Keningau dan KK Plaza atas modus operandi sama.

Pengadu kemudian menjalankan ujian asid terhadap cincin berkenaan dan mendapati goresan pada batu penguji hilang, sekali gus mengesahkan ia adalah emas palsu.

Pengadu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Shaferrah Mad Iskim mengendalikan pendakwaan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

LEAVE A RESPONSE