Read Time:2 Minute, 27 Second
KOTA KINABALU: Keunikan Sabah yang kaya dengan kepelbagaian masyarakat, ekosistem marin dan daratan serta sumber alam semula jadi membuka ruang luas kepada Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk meneroka ilmu menerusi penyelidikan berimpak tinggi.
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Mansur berkata, sebagai universiti yang berakar di Sabah, UMS sentiasa memberi tumpuan kepada keperluan sebenar masyarakat khususnya dalam bidang kesihatan, keselamatan makanan, pendidikan dan pembangunan ekonomi.
Katanya, UMS menggunakan pendekatan makmal hidup atau living lab bagi menterjemahkan hasil kajian saintifik kepada penyelesaian yang dapat memenuhi keperluan sebenar masyarakat.
“Sebagai pemangkin pembangunan sosioekonomi dan penyelidikan berimpak tinggi di Sabah, UMS menggunakan pendekatan makmal hidup bagi menterjemah hasil kajian saintifik kepada penyelesaian keperluan sebenar masyarakat.

“Sebuah sekolah di Pitas, misalnya, penyelidik UMS bekerja di lapangan untuk membangunkan sistem rawatan air berskala kecil bagi keperluan pelajar asrama.
“Usaha seperti ini menunjukkan bahawa penyelidikan yang baik bermula dengan mendengar, kemudian menguji dan menambah baik bersama komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Penyelidikan UMS (APUMS) 2026 di sini.
Majlis itu diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sabah merangkap Canselor UMS, Tun Musa Aman yang menyempurnakan perasmian APUMS 2026.
Menurut Kasim, sehingga suku kedua tahun ini, UMS telah merekodkan sebanyak 33 makmal hidup yang memberi tumpuan kepada penyelesaian berasaskan keperluan masyarakat.
Katanya, pendekatan berkenaan selari dengan Pelan Strategik UMS 2023–2027 menerusi agenda Translatable Research bagi memastikan penemuan ilmiah dapat diterjemahkan kepada amalan, teknologi, dasar atau produk yang memberi manfaat secara langsung.
“ Kejayaan penyelidikan UMS bukan hanya diukur pada anugerah yang diterima, tetapi juga pada perubahan yang dapat dirasai oleh masyarakat Sabah,” katanya.
Dalam pada itu, Kasim berkata UMS kini berada di kedudukan ke-214 di Asia menerusi QS Asia University Rankings 2026, selain mengekalkan penarafan lima bintang dalam dapatan audit Instrumen Penilaian Penyelidikan Malaysia (MyRA) pada Julai lalu.
Katanya, UMS turut merekodkan komitmen geran luaran berjumlah RM18 juta menerusi 103 geran bagi tempoh 2025 hingga September 2026.
“Pencapaian Institut Marin Borneo yang diiktiraf sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HICoE) amat penting kerana Sabah memerlukan kepakaran sains untuk memelihara sumber lautnya serta membangunkan potensi ekonomi yang bertanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata, bidang inovasi UMS turut menunjukkan perkembangan positif menerusi penghasilan pelbagai reka cipta berprestij termasuk Glucomur Functional Gel yang memenangi Anugerah Emas, Solar Vapour Generator serta pempatenan teknologi AgroSpread.
Bagi menyokong pengkomersialan hasil penyelidikan, katanya, UMS turut menyediakan hab inkubasi CIPTA@UMS yang membolehkan penyelidik menguji prototaip serta menilai potensi pasaran sebelum dikembangkan sebagai produk atau perkhidmatan di peringkat industri.
Pada masa sama, Kasim menggesa warga penyelidik UMS supaya terus membudayakan integriti tinggi dalam pengurusan data, penerbitan dan dana penyelidikan.
Beliau turut menekankan kepentingan membimbing penyelidik muda bagi memastikan kelangsungan kecemerlangan ilmu dan penyelidikan di universiti berkenaan.
“Kejayaan penyelidikan UMS bukan sekadar diukur pada anugerah yang diterima, tetapi pada sejauh mana ilmu yang lahir di universiti ini mampu kembali memberi manfaat dan meningkatkan taraf hidup rakyat Sabah,” katanya.






