Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

TPNS Smart Application perkasa penyampaian bantuan pendidikan Sabah

Read Time:1 Minute, 52 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah meneruskan usaha mentransformasikan penyampaian bantuan pendidikan menerusi pendigitalan sistem permohonan bagi memudahkan akses pelajar di seluruh negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata gelombang transformasi digital dalam penyampaian perkhidmatan pendidikan negeri dimulakan menerusi pelancaran Portal Tajaan Pendidikan Sabah (PTPS) pada 2 Julai 2024.

Beliau berkata, PTPS berperanan sebagai ‘single window platform’ yang menghimpunkan lima agensi penaja dan pemberi bantuan pendidikan utama negeri dalam satu platform bersepadu.

“Memperkukuh momentum pemodenan ini, pada hari ini kita melangkah setapak lagi ke hadapan menerusi Pelancaran Sistem TPNS Smart Application,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan TPNS dan Pelancaran Sistem TPNS Smart Application di Menara Kinabalu, di sini, pada Jumaat.

Hajiji berkata, aplikasi mudah alih berkenaan membolehkan permohonan bantuan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian.

Katanya, pemohon juga boleh menyemak status permohonan secara masa nyata, sekali gus menjadikan proses permohonan lebih telus, teratur dan mesra pengguna.

“Dengan kemudahan ini, proses permohonan diharap menjadi lebih mudah, cepat dan teratur, khususnya bagi anak-anak Sabah di seluruh pelosok negeri, terutama mereka yang berada di kawasan luar bandar,” katanya.

Menurutnya, pendigitalan penyampaian bantuan pendidikan itu penting bagi memastikan kemudahan dan peluang mendapatkan bantuan dapat diakses dengan lebih meluas tanpa mengira lokasi pemohon.

Dalam pada itu, Hajiji menyeru lebih banyak syarikat korporat tempatan dan antarabangsa yang beroperasi serta meraih keuntungan di Sabah supaya tampil melaksanakan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) menerusi sumbangan kepada TPNS.

Beliau berkata, penglibatan sektor swasta dapat membantu memperkukuh usaha kerajaan negeri dalam menyediakan lebih banyak peluang dan sokongan pendidikan kepada anak-anak Sabah.

“Kerjasama kerajaan negeri, sektor swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mampu membina ekosistem pendidikan yang lebih kukuh untuk anak-anak Sabah,” katanya.

Hajiji turut menyifatkan ulang tahun ke-60 Kumpulan Yayasan Sabah pada tahun ini sebagai satu pencapaian penting, khususnya dalam melihat sumbangan agensi itu terhadap pembangunan negeri.

Katanya, sepanjang tempoh tersebut, Kumpulan Yayasan Sabah memainkan peranan dalam memperkasa rakyat dan memacu pembangunan Sabah menerusi bidang pendidikan, pembangunan modal insan, ekonomi, sosial serta pemuliharaan alam sekitar.

Beliau berkata, kesinambungan peranan itu amat penting dalam memastikan pembangunan negeri terus memberi manfaat kepada rakyat, khususnya dalam melahirkan modal insan yang berilmu, berkemahiran dan mampu menyumbang kepada kemajuan Sabah.- SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE