Read Time:1 Minute, 48 Second
KOTA KINABALU: Kejayaan atlet karate kelahiran Tambunan, Adeola Fay Robert, meraih pingat emas pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 membuktikan bakat anak-anak Sabah mampu berkembang hingga ke pentas antarabangsa.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pencapaian Adeola dalam acara kumite wanita bawah 55 kilogram (kg) bukan sekadar kejayaan peribadi, malah mencerminkan potensi besar atlet negeri ini untuk mengharumkan nama Malaysia di peringkat Asia.
Beliau berkata Adeola menunjukkan bahawa dengan peluang, sokongan dan ruang pembangunan yang berterusan, atlet muda Sabah mampu mencapai tahap prestasi yang tinggi.
“Perjalanan Adeola membuktikan bahawa bakat anak-anak Sabah mampu pergi jauh apabila diberikan peluang, sokongan dan ruang untuk berkembang,” katanya dalam kenyataan di sini.
Adeola mencipta sejarah apabila menghadiahkan pingat emas pertama kontinjen Malaysia pada temasya berkenaan selepas menewaskan wakil Iran, Fatemehzahra Saeidabadi, 6-4 pada aksi final.
Menurut Hajiji, pencapaian tersebut amat membanggakan kerana Adeola sebelum ini turut memainkan peranan penting dalam kejayaan skuad kumite berpasukan wanita Sabah meraih pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026.
Katanya, pencapaian berkenaan memperlihatkan perkembangan konsisten atlet berusia 20 tahun itu dalam arena karate, daripada mewakili Sabah di peringkat kebangsaan sebelum menggalas cabaran negara di pentas Asia.
“Daripada kejayaan membantu skuad kumite berpasukan wanita Sabah meraih emas di SUKMA XXII Selangor, kini Adeola membawa nama Sabah dan Malaysia ke pentas Asia,” katanya.
Dalam aksi final di Gimnasium Toyohashi, Nagoya, Adeola menampilkan persembahan bertenang dan bertenaga untuk menewaskan Saeidabadi dengan keputusan 6-4.
Sebelum itu, beliau menewaskan Bella Samasheva dari Kazakhstan 5-4 pada aksi separuh akhir untuk melangkah ke pentas final.
Adeola turut mencatat kemenangan 9-1 ke atas Asrar Jasem dari Kuwait pada pusingan terdahulu sebelum mengatasi Sevinch Rakhimova dari Uzbekistan 8-7.
Kejayaan di Aichi-Nagoya itu turut meneruskan momentum positif Adeola selepas meraih pingat gangsa pada Sukan SEA Thailand 2025.
Hajiji berkata kejayaan tersebut diharap menjadi pencetus semangat kepada lebih ramai atlet muda Sabah untuk terus membina kerjaya dalam bidang sukan dan berani menyasarkan pencapaian di peringkat lebih tinggi.
“Teruskan melakar sejarah dan menjadi inspirasi kepada anak-anak muda Sabah. Dari Tambunan, kamu telah mengharumkan nama Malaysia di pentas Asia.
“Tahniah Adeola. Kami amat berbangga dengan pencapaian kamu,” katanya.






