Read Time:1 Minute, 40 Second
LAHAD DATU: Lahad Datu berpotensi tinggi sebagai lokasi strategik bagi Tapak Pelancaran Roket atau satelit bagi kawasan Asia Tenggara.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, berdasarkan kajian yang dijalankan oleh kerajaan negeri bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia, daerah itu didapati paling sesuai untuk tujuan berkenaan berbanding negeri-negeri lain.
“Insya Allah dalam beberapa tahun akan datang. kalau tiada aral melintang. Lahad Datu inilah yang terbaik untuk dijadikan pusat pelancaran roket satelite daripada sebelah Asia Tenggara.
“Jadi ini berlaku dalam dua tiga tahun akan datang, Lahad Datu akan dikunjungi oleh ramai pelancong termasuk saintis-saintis angkasa akan datang ke daerah ini. Ini sudah pasti akan menjadi pemangkin ekonomi kepada Lahad Datu,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Kesyukuran dan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2026 Datuk Abdul Hakim Gulam Hassan di Dewan Sri Perdana Lahad Datu, di sini pada Khamis.
Hajiji berkata, banyak negeri yang melobi untuk menjadi tempat untuk tapak pelancaran satelit namun petunjuk atau kajian mendapati bahawa Lahad Datu adalah tempat yang paling sesuai untuk projek ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri bukan saja akan terus membawa pembangunan di Lahad Datu, tetapi juga kesejahteraan rakyat di daerah ini turut diberi penekanan utama.
“Saya sebenarnya mempunyai keinginan beberapa kali untuk melawat Lahad Datu, terutama sebelum pilihan raya lalu.
“Tetapi oleh beberapa keadaan yang tidak dapat dielakkan, saya tidak dapat berkempen di sini. Tidak apa kita ada lagi pilihan raya Parlimen tahun depan.
“Apa yang penting, saya mahu rakyat kita di sini bersatu hati, pilih parti kerajaan untuk kebaikan kita. Sebab kerajaan negeri sekarang ini telah pun melakukan yang terbaik untuk rakyat dan negeri Sabah. Kita ada hala tuju yang jelas untuk rakyat dan banyak yang berjaya kita buat di negeri ini.
“Jangan kita dengar fitnah daripada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Sebagai umat Islam kita mesti berpegang lepada kebaikan dan kebenaran. Apa yang dibuat oleh kerajaan mesti dinyatakan kepada rakyat. Saya minta juga agar rakyat tidak mudah percaya dengan segala tuduhan, tohmahan dan fitnah yang pastinya akan merugikan kita sendiri,” katanya.






