Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Stigma antara penghalang individu dapatkan bantuan kesihatan mental

Read Time:2 Minute, 10 Second

KOTA KINABALU: Stigma dan persepsi negatif masyarakat terhadap masalah kesihatan mental masih menjadi antara faktor yang menyebabkan individu berdepan cabaran untuk tampil mendapatkan bantuan serta rawatan awal.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr William Gotulis berkata, tanggapan bahawa masalah kesihatan mental merupakan kelemahan peribadi atau keadaan yang tidak boleh dirawat perlu diubah melalui pendidikan, kesedaran dan sokongan komuniti.

Katanya, kesejahteraan mental merupakan aspek penting dalam kehidupan manusia yang merangkumi keseimbangan emosi, psikologi dan sosial.

“Namun, tidak dapat dinafikan bahawa isu ini masih sering diselubungi dogma, diskriminasi dan salah faham.

“Stigma masyarakat sering memanifestasikan persepsi negatif, kononnya masalah kesihatan mental adalah kelemahan peribadi atau suatu kondisi yang tidak mampu dirawat.

“Persepsi songsang inilah yang sering merencatkan langkah individu untuk tampil mendapatkan rawatan dan intervensi awal,” katanya.

Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah (Kesihatan Awam), Dr Muhammad Jikal pada Program BRAVE Fest: Break The Stigma Peringkat Negeri Sabah 2026 di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata, penganjuran program Building Resilience & Awareness Via Engagement (BRAVE Fest) 2026 bertemakan ‘Hentikan Stigma, Kesihatan Mental Milik Semua’ merupakan antara pendekatan untuk meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai kepentingan kesihatan mental.

Menurutnya, kempen berkenaan turut bertujuan memperkasa literasi kesihatan mental, memupuk empati dan membina jaringan sokongan komuniti yang lebih terbuka.

Katanya, usaha menangani cabaran kesihatan mental memerlukan penglibatan semua pihak dan tidak boleh hanya diletakkan di bahu individu yang sedang berdepan masalah berkenaan.

“Perjuangan mendepani cabaran kesihatan mental ini tidak wajar digalas secara bersendirian, ia menuntut sinergi dan penggemblengan tenaga yang bersepadu antara agensi kesihatan, komuniti setempat dan semua pemegang taruh,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata BRAVE Fest 2026 turut menyediakan pelbagai pengisian interaktif bagi memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai kesihatan mental dalam suasana yang lebih terbuka dan mesra komuniti.

Antaranya termasuk Galeri ‘Neuroscience of Emotions’, yang memberi peluang kepada masyarakat memahami hubungan antara emosi dan fungsi otak serta meningkatkan pengetahuan mengenai kesihatan mental.

Selain itu, katanya, platform Warkah Buat Awan dan Safe Space Corner turut disediakan bagi memberi ruang kepada pengunjung meluahkan perasaan serta bebanan emosi dalam suasana yang selamat dan menenangkan.

Beliau berkata, pendekatan membawa perkhidmatan dan pendidikan kesihatan mental lebih dekat kepada komuniti mencerminkan komitmen Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) untuk memastikan masyarakat mendapat akses kepada sokongan yang diperlukan.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat supaya mengamalkan sikap lebih terbuka dan empati terhadap individu yang berdepan cabaran kesihatan mental.

“Sokongan sosial yang padu daripada keluarga, rakan dan komuniti amat penting bagi memastikan mereka yang berhadapan cabaran kesihatan mental tidak berasa tersisih atau keseorangan,” katanya.

Hadir sama Ketua Cawangan Penyakit Tidak Berjangkit JKNS, Dr Tee Wen Li dan Ketua Perkhidmatan Psikiatri Negeri, Dr Chua Tze Hung.

LEAVE A RESPONSE