Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Semakan pengezonan perairan Semporna dijangka mudahkan isu pelesenan pelancongan

Read Time:1 Minute, 18 Second

SEMPORNA : Semakan semula pelan pengezonan kawasan perairan di daerah ini dijangka menjadi antara langkah penting dalam membantu menyelesaikan isu pelesenan premis pelancongan yang dihadapi pengusaha tempatan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, Majlis Daerah Semporna kini sedang meneliti semula pelan pengezonan kawasan perairan, termasuk cadangan rezoning.

Katanya, ia bagi memastikan status kawasan adalah selaras dengan keperluan pembangunan pelancongan semasa.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif untuk pembangunan industri pelancongan, di samping memastikan semua aktiviti dijalankan mengikut perancangan dan peraturan yang ditetapkan.

Menurutnya, hasil perbincangan bersama pihak berkaitan mendapati masih terdapat permohonan lesen premis pelancongan yang belum dapat diluluskan berikutan ketidaklengkapan dokumen, kegagalan memenuhi syarat pelesenan serta beberapa isu teknikal.

“Selain itu, Lesen Pendudukan Sementara atau Temporary Occupation Licence (TOL) pada masa ini tidak boleh dilesenkan di bawah peraturan sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Sehubungan itu, Jafry berkata, kementeriannya akan terus memainkan peranan sebagai pemudah cara dengan menyelaras perbincangan bersama kementerian, pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan bagi mencari penyelesaian yang menyeluruh.

Beliau turut memaklumkan akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Arif, bagi meneliti isu berkenaan serta mengenal pasti pendekatan yang praktikal untuk membantu pengusaha tempatan.

Dalam pada itu, beliau menyeru semua pengusaha pelancongan supaya terus memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa dengan melengkapkan semua keperluan dan syarat pelesenan yang ditetapkan.

Katanya, kerajaan komited memastikan industri pelancongan di Semporna terus berkembang secara sah, tersusun dan mampan, sekali gus memperkukuh kedudukan daerah itu sebagai antara destinasi pelancongan utama di Sabah.

LEAVE A RESPONSE