Read Time:1 Minute, 48 Second
Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Pertubuhan Kebudayaan Etnik Sandayo Sabah (PRESS) menasihatkan orang ramai yang ingin mendapatkan atau menempah Sabung Impit Dusun Sandayo supaya berurusan terus dengan persatuan itu.
Pengerusi PRESS, Rosnah Taton berkata, sehingga kini persatuan itu tidak pernah melantik mana-mana kedai atau individu sebagai wakil rasmi untuk menjual atau menjahit pakaian tradisi etnik Sandayo.
Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan keaslian pakaian tradisi berkenaan terus terpelihara.
“Kami mahu memastikan setiap tempahan dibuat berdasarkan rujukan yang betul supaya reka bentuk, aksesori dan elemen penting pada pakaian ini kekal menepati ciri-ciri asalnya,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, satu hantaran di media sosial tular baru-baru ini selepas seorang pelanggan meluahkan rasa tidak puas hati terhadap hasil Sabung Impit Dusun Sandayo yang dijual oleh seorang pengusaha.
Hantaran itu turut menyatakan bahawa pengusaha terbabit mendakwa sulaman pada pakaian berkenaan ditempah daripada persatuan tersebut.
Rosnah menegaskan, PRESS memandang serius sebarang perkara yang boleh menjejaskan nama persatuan termasuklah imej serta keaslian pakaian tradisi etnik itu.
“Sebab itu kami menggalakkan orang ramai berurusan terus dengan persatuan berhubung pakaian tradisi etnik Sandayo. Selain memastikan maklumat yang tepat, tempahan yang dibuat melalui persatuan turut membantu menjana pendapatan komuniti Sandayo,” katanya.

Rosnah berkata, komuniti Dusun Sandayo kebanyakannya menetap di Kampung Pinangkau, Kampung Golong dan Kampung Kaindangan di daerah Paitan, kira-kira 200 kilometer dari Kota Kinabalu.
Komuniti itu dianggarkan mempunyai antara 5,000 hingga 6,000 penduduk, menjadikannya antara kelompok etnik kecil di negeri ini.
Katanya, selain pakaian tradisi Sabung Impit, masyarakat Sandayo turut memiliki bahasa dan tarian tradisi tersendiri yang menjadi sebahagian daripada identiti budaya mereka.
“Walaupun jumlah kami tidak besar, usaha memelihara bahasa, adat resam dan pakaian tradisi perlu diteruskan supaya warisan ini tidak hilang ditelan zaman.
“Kami memohon kerjasama semua pihak untuk terus meyokong usaha komuniti Sandayo,” katanya.
Mengulas lanjut hantaran tular itu, Rosnah berkata pengusaha terbabit telah menghubunginya dan beliau telah menasihatkan supaya perkara berkenaan diselesaikan dengan segera.
“Pihak kami juga sedang menyiasat dan meneliti perkara ini dengan lebih lanjut dan tidak teragak-agak mengambil tindakan mengikut adat,” katanya.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut atau membuat tempahan Sabung Impit boleh menghubungi PRESS menerusi talian 019-7226673.






