Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

SEDCO-PETRONAS meterai pajakan tanah RM200 juta bagi tempoh 30 tahun

Read Time:1 Minute, 32 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Kerjasama strategik antara Kumpulan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) dan PETRONAS menerusi perjanjian pajakan tanah bernilai keseluruhan RM200 juta bagi tempoh 30 tahun dijangka memperkukuh pembangunan industri minyak dan gas di Sabah.

Pengerusi Kumpulan SEDCO, Datuk Masiung Banah, berkata perjanjian itu merupakan langkah transformasi ekonomi jangka panjang kerajaan negeri bagi memastikan aset tanah dimanfaatkan untuk menjana pulangan komersial dan merangsang pertumbuhan industri.

Beliau berkata demikian pada majlis pemeteraian perjanjian antara SEDCO dengan PETRONAS yang disaksikan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick, yang mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, di sebuah hotel di sini, tengah hari tadi.

Perjanjian itu melibatkan pajakan tanah seluas 32.2 hektar bagi operasi Sabah Oil & Gas Terminal (SOGT) di Kimanis serta 260 hektar tanah di sepanjang koridor jajaran saluran paip gas Sabah-Sarawak Gas Pipeline (SSGP) dari Kimanis ke Sipitang.

Menurut Masiung, kerjasama itu dijangka menjana RM100 juta dalam tempoh dua tahun sehingga pertengahan 2028, dengan sasaran pulangan RM20 juta dalam bentuk dividen dan bayaran pinjaman kepada kerajaan negeri yang mula disalurkan tahun ini.

“Pemeteraian perjanjian pajakan tanah ini merupakan pencapaian komersial dua hala antara PETRONAS dan SEDCO bagi menyokong pembangunan infrastruktur industri minyak dan gas di tanah besar Borneo, merangkumi Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama kedua-dua pihak bermula sejak 1997 dan telah menyokong pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur serta utiliti di Sabah.

Katanya, kerjasama strategik itu turut memperkukuh ekosistem industri minyak dan gas di Sabah dan Sarawak, sekali gus membuka ruang kepada pembangunan sektor berkenaan secara berterusan.

Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah, Datuk Mohd Sofian Alfian, manakala PETRONAS diwakili Naib Presiden Kanan, Datuk Ir. Bacho Pilong.

Zairil Faiz Zakaria, Pengurus Besar Kanan Integrated Hydrocarbon Malaysia Management, mewakili PETRONAS dalam pemeteraian perjanjian itu, manakala SEDCO diwakili Pengurus Besarnya, Datuk Ar. James Wong.

LEAVE A RESPONSE