Read Time:1 Minute, 23 Second
KOTA KINABALU: Sabah Electricity (SE) terus memperkukuh kestabilan grid elektrik negeri menerusi pelaksanaan beberapa projek strategik, termasuk Sistem Tenaga Simpanan Bateri (BESS) berkapasiti 100 Megawatt (MW).
Pengerusi SE, Datuk Saadiah Aziz, berkata pelaksanaan BESS berkenaan merupakan antara komitmen syarikat dalam meningkatkan kebolehcapaian serta kestabilan bekalan elektrik, khususnya di kawasan Pantai Timur Sabah.
“BESS berkapasiti 100MW antara projek utama yang amat penting dalam memastikan pertambahan kapasiti tenaga bagi menstabilkan grid elektrik, khususnya bagi kawasan Pantai Timur Sabah.
“Selain BESS 100MW, SE juga telah melancarkan Sambungan Grid Sarawak-Sabah yang mempunyai kapasiti 50MW pada Januari lalu bersama Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak.

“Pada Jun lalu pula, SE turut melancarkan fasa pertama Projek Southern Link yang melibatkan talian sepanjang 60 kilometer,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, di Istana Seri Kinabalu, di sini.
Saadiah pada masa sama berharap masyarakat di Sabah dapat mengamalkan penggunaan elektrik secara berhemah, khususnya ketika musim panas, bagi mengelakkan beban berlebihan terhadap sistem grid.
Mengulas mengenai kunjungan hormat itu, beliau berkata SE turut menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun 2025 berjumlah RM2.18 juta kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), yang disaksikan Tun Musa.
“Bayaran zakat merupakan sebahagian daripada tanggungjawab SE yang akan terus memainkan peranan sebagai syarikat yang bukan sahaja memberikan perkhidmatan utiliti, malah turut prihatin terhadap kesejahteraan masyarakat.
“SE berharap melalui usaha yang dilaksanakan ini dapat memberi manfaat kepada golongan yang memerlukan serta mendapat keberkatan daripada Allah SWT,” katanya.
Menurutnya, sejak 2023, SE dianggarkan telah mengagihkan RM2.36 juta menerusi Wakalah Zakat kepada penerima yang layak di Sabah dan Labuan.





