Read Time:2 Minute, 30 Second
Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menyasarkan kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) mencapai sekitar 1,200 megawatt (MW) atau 37 peratus daripada campuran kapasiti penjanaan negeri menjelang 2030 menerusi pelaksanaan beberapa projek strategik di bawah Pelan Induk dan Halatuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040).
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, hala tuju itu merupakan sebahagian daripada sasaran jangka panjang kerajaan negeri untuk mencapai 50 peratus campuran kapasiti tenaga boleh baharu menjelang 2035.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan Datuk Arthur Joseph Kurup (Sook) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17, di sini, pada Isnin.
Menurutnya, sehingga kini kapasiti tenaga boleh baharu di Sabah adalah sekitar 307MW, bersamaan kira-kira 16 peratus daripada campuran kapasiti penjanaan negeri.
“Menjelang 2030, fokus kerajaan negeri adalah meningkatkan pembangunan kapasiti tenaga boleh baharu secara berperingkat melalui penambahan kapasiti solar berskala besar, hidroelektrik, tenaga angin, biojisim serta teknologi Sistem Penyimpanan Tenaga (Energy Storage System) bagi memastikan kestabilan grid dan mengurangkan isu gangguan bekalan akibat sifat tenaga boleh baharu yang tidak konsisten,” katanya.
Hajiji berkata, antara projek strategik yang sedang dan akan dilaksanakan ialah pembangunan Projek Solar Berskala Besar (LSS) berkapasiti keseluruhan 450MW, meliputi 200MW yang kini dalam pelaksanaan dan dijangka siap antara penghujung 2026 hingga awal 2027, serta tambahan 250MW yang sedang melalui proses bidaan dan disasarkan siap pada 2028.
Selain itu, katanya, Projek Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) berkapasiti 200MW/400 megawatt jam (MWh) kini dalam proses bidaan dan dijangka siap pada 2028.
Beliau berkata, kerajaan turut merancang projek penjanaan tenaga angin berkapasiti 100MW yang dijangka siap pada 2029, selain Projek Hidroelektrik Upper Padas berkapasiti 187MW dan Projek Hidroelektrik Oriole Padas berkapasiti 162MW yang disasarkan siap pada 2030.
“Dengan pelaksanaan projek-projek ini secara berfasa, kapasiti tenaga boleh baharu di Sabah dijangka meningkat kepada sekitar 1,200MW menjelang 2030, sekali gus mewakili kira-kira 37 peratus daripada campuran kapasiti penjanaan negeri.
“Kerajaan negeri yakin sasaran 50 peratus tenaga boleh baharu menjelang 2035 mampu dicapai, sambil memastikan bekalan elektrik Sabah kekal mencukupi, stabil, berdaya harap dan mampu milik selaras dengan aspirasi peralihan tenaga negeri,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Arthur mengenai potensi Ocean Thermal Energy Conversion (OTEC), Hajiji berkata kerajaan negeri sedang meneliti teknologi itu sebagai salah satu sumber tenaga baharu yang berpotensi dibangunkan di Sabah.
Katanya, berdasarkan kajian, Sabah mempunyai potensi yang besar dalam pembangunan tenaga haba lautan dan kerajaan melalui Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) telah memulakan usaha awal, termasuk menghantar pegawai mengadakan lawatan ke beberapa negara seperti Jepun yang telah membangunkan teknologi berkenaan.
“Insya-Allah, jika semua perancangan berjalan lancar, kita akan dapat melaksanakan projek OTEC di perairan Sabah pada masa hadapan,” katanya.
Mengulas mengenai bekalan elektrik di kawasan luar bandar dan pedalaman, Hajiji berkata kerajaan mempunyai perancangan menyeluruh bagi memastikan setiap kampung dan kediaman rakyat menerima bekalan elektrik yang mencukupi.
Katanya, selain pelaksanaan projek pembinaan talian bekalan elektrik oleh Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri turut memberi keutamaan untuk memperluaskan akses bekalan elektrik ke seluruh Sabah, termasuk kawasan pedalaman, bagi memenuhi keperluan rakyat serta menyokong pertumbuhan sektor industri.






