Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Sabah Electricity sasar 400,000 pengguna mySE+


Read Time:1 Minute, 49 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn. Bhd. menyasarkan 400,000 pengguna berdaftar bagi aplikasi baharu mySE+ dalam usaha memperkukuh perkhidmatan pelanggan serta memudahkan urusan bil elektrik.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir. Ts. Mohd Yaakob Jaafar berkata, sasaran itu dibuat susulan kejayaan aplikasi terdahulu yang merekodkan kira-kira 270,000 pengguna daripada 725,000 akaun pelanggan di Sabah.

Menurutnya, aplikasi mySE+ yang sebelum ini dikenali sebagai mySESB telah dinaik taraf dengan pelbagai ciri baharu bagi meningkatkan penggunaan platform digital, khususnya dalam pembayaran bil.

“Setakat ini, kutipan bayaran melalui aplikasi mencecah sekitar RM50 juta sebulan hasil pelaksanaan secara dalaman dan ujian bersama pengguna.

“Ini menunjukkan pengguna semakin selesa menggunakan kaedah digital,” katanya pada sidang media sempena Majlis Media Luncheon Bersama Sabah Electricity di sini, hari ini.

Aplikasi mySE+ kini boleh dimuat turun melalui Google Play Store, Apple App Store dan portal rasmi Sabah Electricity.

Dalam pada itu, beliau berkata permintaan elektrik di Sabah meningkat susulan cuaca panas dengan rekod terkini mencecah 1,232 megawatt (MW).

Bagaimanapun, katanya, margin simpanan tenaga kekal mencukupi pada tahap 21 peratus bagi menampung keperluan semasa.

“Berbanding sebelum ini, bekalan kini lebih stabil hasil pelbagai langkah penambahbaikan,” katanya.

Mengulas isu bil elektrik, beliau berkata kenaikan sekitar 15 hingga 20 peratus sejak dua bulan lalu dipengaruhi pelarasan tarif, musim perayaan serta peningkatan penggunaan ketika cuaca panas.

Katanya, ramai pengguna tidak menyedari peningkatan penggunaan elektrik sehingga menyebabkan bil lebih tinggi daripada kebiasaan.

“Melalui aplikasi ini, pengguna boleh memantau penggunaan dan mengawal perbelanjaan dengan lebih baik,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan aplikasi mySE+ menelan kos kira-kira RM6 juta dan disifatkan berbaloi dari segi pulangan jangka panjang.

Katanya, selain aplikasi itu berfungsi sebagai hab digital yang membolehkan pengguna menyemak bil, memantau penggunaan serta menerima notifikasi gangguan bekalan secara masa nyata, termasuk status pemulihan dan anggaran tempoh gangguan.

“Maklumat yang pantas membantu pengguna merancang aktiviti harian selain menggalakkan penggunaan tenaga secara lebih berhemah,” katanya.

Tambahnya, aplikasi itu turut dilengkapi ciri luar talian bagi membolehkan semakan dibuat di kawasan yang mempunyai capaian internet terhad.

“Aplikasi lama akan digunakan sehingga hujung tahun ini sebelum peralihan penuh ke mySE+,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen Sabah Electricity dalam meningkatkan kecekapan serta ketelusan perkhidmatan kepada pengguna.

LEAVE A RESPONSE