Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

PH Sabah tegas mahu pelaksanaan hak 40 peratus dipercepatkan

Read Time:2 Minute, 37 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah menegaskan bahawa pelaksanaan penuh hak Sabah terhadap 40 peratus hasil bersih Persekutuan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tidak boleh terus ditangguhkan dan perlu disegerakan oleh Kerajaan Persekutuan.

Pengerusinya, Datuk Mustapha Sakmud berkata, walaupun PH Sabah menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pemberian khas interim berjumlah RM1.5 bilion kepada Sabah, ia bukanlah pengganti kepada hak sebenar negeri itu yang masih belum dilaksanakan sepenuhnya.

Menurutnya, pendirian PH Sabah adalah jelas dan sebulat suara bahawa pembayaran penuh 40 peratus tersebut perlu direalisasikan secepat mungkin demi memenuhi hak serta aspirasi rakyat Sabah.

“RM1.5 bilion yang diumumkan merupakan jumlah tertinggi dalam sejarah pemberian khas kepada Sabah dan kita menghargai komitmen Perdana Menteri. Namun, kita tetap berpendirian bahawa pelaksanaan penuh 40 peratus mesti dilaksanakan.

“Sebagai menteri yang dipertanggungjawabkan dalam perkara ini, saya akan terus mengadakan sesi libat urus dengan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, khususnya Kementerian Kewangan, bagi memastikan pelaksanaan hak 40 peratus ini dapat dipercepatkan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan PH Sabah 2024/2025, di sini, pada Ahad.

Beliau berkata, pemberian khas interim itu diharap dapat dimanfaatkan untuk menyelesaikan pelbagai isu infrastruktur asas yang masih membelenggu Sabah, termasuk bekalan air, elektrik dan rangkaian jalan raya.

Sementara itu, Pengerusi DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe menegaskan isu 40 peratus bukan sekadar tuntutan politik, sebaliknya hak Sabah yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, PH Sabah mengambil pendirian tegas bahawa Kerajaan Persekutuan perlu menunaikan komitmen yang telah berulang kali diberikan berhubung pelaksanaan hak berkenaan.

“Ini bukan sahaja aspirasi rakyat Sabah, tetapi hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Sebab itu ia tidak boleh dinafikan.

“RM1.5 bilion yang diumumkan memang merupakan bayaran interim tertinggi dalam sejarah, tetapi ia masih belum menyelesaikan hak sebenar Sabah di bawah Perlembagaan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa komitmen pelaksanaan 40 peratus telah beberapa kali dinyatakan oleh Perdana Menteri dan berharap perkara itu dapat direalisasikan dalam masa terdekat.

Pada masa sama, PH Sabah turut mengumumkan penstrukturan semula kepimpinan gabungan itu bagi memperkukuhkan jentera menghadapi cabaran politik semasa dan persiapan pilihan raya akan datang.

Mustapha (tengah) bersama Ahli Majlis Tertinggi Pakatan Harapan Sabah.

Mustapha kekal sebagai Pengerusi PH Sabah dengan dibantu dua Timbalan Pengerusi iaitu Datuk Phoong Jin Zhe dan Datuk Lahirul Latigu.

Datuk Ruji Ubi dilantik sebagai Setiausaha, Irwan Shah Mustapa sebagai Bendahari, Datuk Chan Foong Hin sebagai Ketua Penerangan, Zaidi Jatil sebagai Ketua Pemuda, Datuk Jannie Lasimbang sebagai Ketua Wanita dan Datuk Peto Galim sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya.

Menurut Mustapha, pelantikan semula dan penstrukturan tersebut bertujuan memanfaatkan pengalaman pemimpin berpengalaman serta memperkukuhkan operasi PH Sabah menjelang kemungkinan berdepan pilihan raya pada bila-bila masa.

Dalam perkembangan lain, beliau mengakui terdapat sedikit kesan susulan tindakan beberapa pemimpin PKR Sabah meninggalkan parti, namun menegaskan ia tidak menjejaskan operasi cabang-cabang yang terlibat.

“Setakat ini hanya melibatkan dua ketua cabang iaitu di Tuaran dan Semporna. Namun struktur organisasi di kedua-dua cabang masih kukuh dan berfungsi seperti biasa,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa PH Sabah sudah mula menggerakkan semula persiapan jentera pilihan raya dan akan terus memperkukuhkan kesiapsiagaan parti bagi menghadapi sebarang kemungkinan menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.

LEAVE A RESPONSE