Read Time:1 Minute, 59 Second
Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Sabah terus mengukuhkan kedudukan sebagai antara negeri yang memiliki litupan hutan tertinggi di Malaysia apabila mencatat kira-kira 62 peratus kawasan berhutan, sekali gus menjadi penyumbang utama kepada komitmen negara dalam usaha pemuliharaan alam sekitar dan kelestarian biodiversiti.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, pencapaian itu meletakkan Sabah bersama Sarawak sebagai penyumbang terbesar kepada usaha Malaysia mengekalkan litupan hutan melebihi kadar minimum 50 peratus yang dipersetujui di peringkat antarabangsa.
Menurut beliau, Malaysia baru-baru ini mengemukakan laporan kepada urus setia antarabangsa berhubung komitmen yang dibuat pada Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro pada tahun 1992, yang menetapkan sasaran mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus litupan hutan negara.
“Malaysia kini mencatatkan 54.4 peratus litupan hutan, melebihi kadar minimum yang ditetapkan dalam perjanjian antarabangsa tersebut. Di Sabah dan Sarawak pula, peratusannya lebih tinggi iaitu sekitar 62 dan 63 peratus.

“Ini menunjukkan Sabah dan Sarawak merupakan penyumbang terbesar kepada usaha pemuliharaan negara dan memainkan peranan penting dalam memastikan komitmen Malaysia terus dipenuhi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Tropical Forestry 2026 di Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini pada Selasa
Arthur berkata, pencapaian itu membuktikan kekayaan khazanah semula jadi Sabah bukan sahaja mendapat perhatian dalam negara, malah diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai aset penting dalam agenda perubahan iklim dan pemeliharaan biodiversiti global.
Menurutnya, persidangan Tropical Forestry 2026 yang menghimpunkan penyertaan dari pelbagai negara termasuk Indonesia, Vietnam, Jepun dan New Zealand menjadi platform penting untuk membincangkan usaha pemuliharaan serta penerokaan potensi ekonomi berasaskan sumber semula jadi secara mampan.
“Selain mengekalkan hutan sebagai warisan alam, negara juga perlu mencari pendekatan inovatif bagi memanfaatkan khazanah semula jadi yang dimiliki untuk menjana sumber ekonomi baharu tanpa menjejaskan prinsip kelestarian.
“Pemuliharaan hanyalah satu aspek. Aspek kedua ialah bagaimana kita boleh memanfaatkan dan mengkomersialkan sumber yang ada secara bertanggungjawab supaya ia memberi nilai ekonomi kepada rakyat dan negeri, namun pada masa sama kekal mampan untuk generasi akan datang,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa Sabah merupakan lokasi yang sesuai untuk menganjurkan persidangan berkaitan perhutanan tropika memandangkan negeri itu berada di barisan hadapan dalam pelaksanaan penyelesaian berasaskan alam semula jadi serta usaha pemulihan dan pemeliharaan hutan.
Katanya, penganjuran program dan persidangan seumpama itu perlu diteruskan bagi memberi lebih tumpuan kepada usaha konservasi, penyelidikan dan pembangunan ekonomi hijau yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat setempat serta negara secara keseluruhan. – SABAH MEDIA






