Read Time:1 Minute, 2 Second
KOTA KINABALU: Mahkamah Persekutuan di sini menolak rayuan seorang lelaki yang disabitkan atas kesalahan mengedar 1,199.3 gram ganja enam tahun lalu.
Hakim Datuk Seri Panglima Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang bersidang bersama Hakim Dato’ Rhodzariah Bujang dan Dato’ Mohd Nazlan Mohd Ghazali sebulat suara menolak rayuan Muhammad Zaim Awang, 33.
Muhammad Zaim mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 19 Mei 2025.
Pada 16 Februari 2023, Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 15 sebatan terhadap Muhammad Zaim selepas perbicaraan penuh.
Tetuduh didapati bersalah mengedar ganja itu di sebuah rumah di Taman Mutiara, Labuan pada 15 Mei 2020.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang 15 kali, jika sabit kesalahan.
Pada 2 November 2022, Mahkamah Tinggi di sini melepas dan membebaskan seorang suri rumah yang didakwa bersama Muhammad Zaim daripada pertuduhan sama.
Bagaimanapun, hakim Mahkamah Tinggi memerintahkan Muhammad Zaim membela diri terhadap pertuduhan tersebut.
Muhammad Zaim diwakili peguam Luke Ressa Balang manakala Timbalan Pendakwa Raya Eyu Ghim Siang mewakili pihak responden.






