Read Time:3 Minute, 24 Second
Oleh Normimie Diun
PAPAR: Kerajaan terus memperkukuh sokongan kepada usahawan mikro dengan memperluaskan Program Mikro Kredit Turun Padang ke Sabah, sekali gus membawa perkhidmatan pembiayaan, khidmat nasihat dan bimbingan secara terus kepada hampir 250 usahawan di Kota Kinabalu dan Papar.
Program yang berlangsung pada 4 dan 5 Julai itu merupakan penganjuran sulung di Negeri Di Bawah Bayu serta siri ketujuh dan kelapan sejak dilancarkan pada 23 Mei lalu. Bank Simpanan Nasional (BSN) bertindak sebagai agensi peneraju yang menyelaras program berkenaan bersama lima agensi pembiayaan lain.
Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pendekatan turun padang membolehkan kerajaan dan agensi berkaitan memahami sendiri cabaran yang dihadapi usahawan mikro, sekali gus memastikan bantuan, pembiayaan dan sokongan yang disediakan benar-benar memenuhi keperluan mereka.
Menurutnya, usahawan mikro merupakan antara tulang belakang ekonomi negara yang perlu terus diperkasakan melalui akses kepada pembiayaan, bimbingan dan latihan bagi membantu mereka mengembangkan perniagaan.
“Kita turun padang kerana mahu bertemu sendiri dengan usahawan mikro dan memahami keperluan mereka. Melalui bimbingan serta kemudahan pembiayaan yang disediakan, kita mahu lebih ramai usahawan dapat meningkatkan kemahiran mengurus perniagaan dan mengembangkan perusahaan masing-masing.
“Fokus kerajaan bukan sekadar menyediakan pembiayaan, tetapi memastikan usahawan mendapat bimbingan yang membolehkan mereka membina perniagaan yang lebih mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Mikro Kredit Turun Padang di Pasar Tamu Papar pada Ahad.
Turut hadir, Pengerusi BSN, Dato’ Seri Dr Awang Adek Hussin dan Pemangku Ketua Eksekutif BSN, Mujibburrahman Abd Rashid.
Amir Hamzah berkata, kerajaan menyediakan dana pembiayaan mikro berjumlah RM5 bilion tahun ini menerusi kerjasama enam agensi pembiayaan bagi membantu lebih ramai usahawan mengembangkan perniagaan.
Menurutnya, sambutan terhadap inisiatif itu amat menggalakkan apabila lebih RM1 bilion daripada dana berkenaan telah dimanfaatkan dalam tempoh kira-kira sebulan setengah sejak program itu dilancarkan pada Mei lalu.
Beliau berkata, antara agensi yang terlibat ialah Agrobank, Bank Rakyat, BSN, TEKUN Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), yang bukan sahaja menawarkan pembiayaan malah turut memberikan bimbingan, khidmat nasihat serta pendedahan mengenai pengurusan perniagaan.
“Kita mahu usahawan bukan sekadar memperoleh pembiayaan, tetapi memahami cara mengurus perniagaan dengan lebih baik supaya mereka mampu berkembang dan berdaya saing,” katanya.
Mengulas syarat pembiayaan, beliau berkata kerajaan turut memperkenalkan pendekatan yang lebih fleksibel bagi membantu usahawan mikro yang tidak mempunyai rekod pinjaman atau sejarah kewangan mendapatkan akses kepada pembiayaan.
Katanya, institusi kewangan dan agensi pembiayaan kini menggunakan kaedah penilaian yang lebih menyeluruh dengan mengambil kira prestasi perniagaan, aliran tunai serta potensi perniagaan, dan tidak hanya bergantung kepada rekod pinjaman semata-mata.
Menurutnya, AIM turut melaksanakan penilaian secara terus di lapangan dengan mendekati usahawan di bandar dan luar bandar serta menyediakan bimbingan berterusan bagi membantu mereka mengembangkan perniagaan.
“Usahawan boleh bermula dengan pembiayaan daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), TEKUN atau agensi lain. Apabila perniagaan semakin berkembang dan mempunyai rekod prestasi yang baik, mereka boleh mendapatkan pembiayaan yang lebih besar daripada institusi perbankan.
“Itulah matlamat pendekatan ‘Whole of Nation’ yang kita laksanakan, iaitu kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan berganding bahu membantu usahawan berkembang mengikut keperluan serta tahap perniagaan masing-masing,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) atas kerjasama menjayakan program tersebut.
Setakat ini, Program Mikro Kredit Turun Padang telah menyantuni 753 usahawan mikro menerusi lapan siri yang diadakan di pelbagai lokasi di seluruh negara. Program itu akan diteruskan di Pasar Tani Ampangan, Seremban dan Pasar Pagi Temerloh, Pahang bagi memperluaskan akses usahawan kepada maklumat, khidmat nasihat dan peluang pembiayaan.
Tinjauan sepanjang program mendapati sektor makanan dan minuman kekal menjadi aktiviti utama dalam kalangan usahawan mikro penjaja, sekali gus menjadikan mereka antara golongan yang paling terkesan dengan peningkatan kos operasi, penurunan jualan serta kesukaran mendapatkan pembiayaan.
Dapatan tersebut akan digunakan oleh BSN bagi merangka penyelesaian pembiayaan yang lebih mudah diakses dan bersesuaian dengan keperluan usahawan mikro.
Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, BSN telah menyalurkan hampir RM180 juta pembiayaan mikro kepada usahawan di seluruh negara sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memperluaskan akses kewangan kepada segmen tersebut.
Orang ramai yang berminat mendapatkan kemudahan pembiayaan mikro boleh mengunjungi cawangan BSN berhampiran atau melayari laman sesawang rasmi BSN di www.bsn.com.my.






