Read Time:1 Minute, 53 Second
SELANGOR : Penantian Sabah selama 27 tahun untuk kembali beraksi di perlawanan akhir Piala FA akhirnya berjaya apabila menyingkirkan Selangor 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi.
Perlawanan sengit itu terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 sehingga tamat 90 minit permainan, sekali gus mencatat agregat keseluruhan 5-5.
Beraksi dalam suasana stadium ‘sunyi’ selepas Selangor dihukum bermain tanpa penyokong oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), perlawanan tetap berlangsung dalam tempo tinggi apabila Faisal Halim menceriakan kem Gergasi Merah dengan gol pembukaan pada minit ke-33.
Sabah bagaimanapun bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-47 hasil rembatan kencang Dane Ingham yang menewaskan penjaga gol Selangor, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.
Namun kegembiraan itu hanya bertahan empat minit apabila Chrigor Moraes kembali meletakkan Selangor di hadapan selepas rembatan padu dari luar kotak penalti gagal diselamatkan penjaga gol Sabah, Damien Lim.
Aksi semakin mendebarkan apabila Sabah sekali lagi bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-62 menerusi Ajdin Mujagic yang pantas melakukan tindakan susulan selepas percubaan Stuart Wilkin singgah di palang gol.
Faisal Halim sekali lagi mencuri perhatian apabila menjaringkan gol kedua peribadinya pada minit ke-73 untuk meletakkan Selangor kembali memimpin perlawanan.
Namun, drama tidak berakhir di situ apabila Sabah dihadiahkan sepakan penalti tiga minit sebelum tamat perlawanan selepas Farhan Roslan dijatuhkan pemain gantian Selangor, Muhammad Raimi Shamsul. Mujagic tenang menyempurnakan sepakan itu untuk mengikat kedudukan 3-3 buat kali ketiga.
Selangor kemudian dikejutkan dengan kad merah yang dilayangkan kepada pertahanan import, Mamadou Diarra, pada masa kecederaan selepas beliau mengasari Muhammad Fakrul Iman Naszari, sekali gus memaksa tuan rumah mengharungi detik akhir dengan 10 pemain.
Meskipun beraksi dengan kelebihan seorang pemain, Sabah gagal mencari gol kemenangan, memaksa perlawanan ditentukan melalui sepakan penalti.
Detik paling mendebarkan muncul apabila penjaga gol Sabah, Damien Lim, muncul wira dengan menyelamatkan sepakan penalti terakhir pemain Selangor, Mohammad Abualnadi, sekali gus mengesahkan kemenangan 5-4 buat skuad Badak dan tiket ke final Piala FA menjadi milik mereka.
Sabah dijadualkan berdepan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan akhir nanti.
Sebagai rekod, kali terakhir Sabah beraksi di final Piala FA ialah pada tahun 1998, namun ketika itu mereka terpaksa akur tewas 0-1 kepada Johor.






