Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Piala FA : Sabah FC tersingkir, Selangor FC tempah tiket ke suku akhir

Read Time:2 Minute, 30 Second

PETALING JAYA: Selangor FC (SFC) menamatkan cabaran Sabah FC dalam Piala FA selepas mencatat kemenangan 2-1 pada aksi kedua Pusingan 16 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi

Kemenangan itu membolehkan The Red Giants mara ke suku akhir dengan agregat 4-3 selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada perlawanan pertama di Stadium Likas.

Skuad kendalian Kim Pan Gon bagaimanapun terpaksa bekerja keras sebelum mengesahkan kemaraan apabila Sabah FC memberikan tentangan sengit terutama selepas berjaya menyamakan kedudukan pada awal babak kedua.

SFC terlebih dahulu menguasai permainan dan hampir membuka jaringan seawal minit ketiga menerusi Eduardo Sosa, namun percubaannya gagal menepati sasaran.

Arbenit Xhemajli kemudian muncul dengan peluang berikutnya apabila tandukannya menuju tepat ke gawang, tetapi Juan Flere tangkas menafikan percubaan pemain SFC itu.

Sabah FC yang sesekali melakukan serangan balas turut hampir mencipta jaringan pada minit ke-12 menerusi Farhan Roslan.

Farhan melepaskan rembatan kencang yang terkena pemain pertahanan SFC, namun Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi tidak berdepan masalah untuk mengamankan bola.

Tuan rumah sekali lagi dikejutkan pada minit ke-21 apabila Park Jun Bin berjaya menjaringkan gol, namun jaringan itu tidak disahkan selepas dia didapati berada dalam kedudukan ofsaid ketika menerima hantaran Fayadh Zulkifli.

SFC akhirnya memperoleh gol yang dicari pada minit ke-35.

Sosa menyudahkan gerakan serangan selepas menerima hantaran Peter Makrillos dengan rembatan yang gagal diselamatkan Flere, sekali gus memberikan kelebihan 1-0 kepada SFC.

Peluang terbaik untuk SFC menambah jaringan hadir dua minit kemudian apabila Chrigor Moraes berdepan situasi satu lawan satu dengan Flere.

Moraes cuba melakukan penyudah secara cungkil, namun Flere membaca percubaan itu dengan baik.

Penjaga gol Sabah FC itu sekali lagi menjadi penghalang kepada Moraes pada penghujung babak pertama apabila menafikan percubaan penyerang SFC berkenaan.

Memasuki babak kedua, Sabah FC tampil lebih agresif dan usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-49.

Jun Bin memanfaatkan kesilapan Harith Haiqal Adam Afkar untuk merampas bola sebelum melepaskan rembatan deras bagi menewaskan Kalamullah.

Gol penyamaan itu menjadikan kedudukan 1-1 dan kembali menghidupkan peluang Sabah FC untuk melakukan kejutan di gelanggang lawan.

Namun, SFC memperoleh peluang terbaik untuk kembali berada di depan hanya beberapa minit kemudian.

Farhan Roslan dihukum selepas mengasari Moraes di dalam kawasan penalti pada minit ke-52, dengan pengadil Mohamad Nawal Mohammad Zubir membuat keputusan memberikan sepakan penalti selepas meneliti insiden menerusi VAR.

Moraes ditugaskan mengambil sepakan berkenaan, tetapi Flere sekali lagi menunjukkan kehebatannya apabila berjaya membaca arah sepakan tersebut.

Bagaimanapun, bola muntah kembali kepada Moraes dan penyerang SFC itu tidak melakukan kesilapan untuk menyambar peluang kedua bagi menghasilkan gol.

Jaringan itu mengubah kedudukan kepada 2-1 dan memberikan SFC semula kelebihan yang amat diperlukan untuk mengesahkan kemaraan.

Sabah FC terus berusaha mencari gol penyamaan pada minit-minit terakhir, namun barisan pertahanan SFC berjaya bertahan daripada asakan pelawat.

Wisel penamat akhirnya mengesahkan kemenangan 2-1 buat SFC, sekali gus memastikan The Red Giants mara dengan agregat 4-3.

SFC kini akan bertemu Star City FC di peringkat suku akhir selepas pasukan berkenaan menyingkirkan Kedah FA dengan agregat 4-2.

LEAVE A RESPONSE