Read Time:1 Minute, 23 Second
KOTA KINABALU: Pengendali Sabah FC, Juan Torres Garrido menyifatkan kejayaan menjulang Piala Cabaran sebagai detik bermakna bukan sahaja menamatkan kemarau trofi pasukan, malah menjadi pencapaian peribadi pertamanya sebagai ketua jurulatih di peringkat kelab.
Jurulatih dari Sepanyol itu berkata, kejayaan tersebut lebih istimewa kerana dicapai di hadapan penyokong sendiri yang memenuhi Stadium Likas, sekali gus menjadikan kemenangan itu lebih bermakna buat pasukan dan penyokong Sang Badak.
“Saya sangat gembira kerana kami berjaya mendapat trofi, terutamanya di laman sendiri. Ia musim yang sukar bagi pemain, tetapi ini memberi motivasi dan perasaan baharu dalam bilik persalinan,” katanya.
Menurutnya, walaupun berdepan cabaran terutama pada aksi final kedua menentang Penang FC, pasukan tetap menunjukkan semangat juang tinggi sehingga berjaya mengesahkan kejuaraan.
Beliau mengakui Sabah FC berdepan kesukaran dalam aspek penyudah, namun pemain terus berusaha sehingga berjaya mengubah keputusan perlawanan.
“Kami tahu kami sedikit bergelut untuk menjaringkan gol, tetapi pada akhirnya kami berjaya bertahan, kekal percaya dan menamatkan perlawanan dengan baik,” katanya.
Garrido berkata, pasukan bermula dengan baik namun beberapa kesilapan pada babak pertama menyebabkan mereka hilang kawalan permainan untuk tempoh tertentu.
“Selepas dua atau tiga kesilapan, beberapa pemain mula berasa ragu-ragu dan kami kehilangan kawalan selama kira-kira 15 hingga 20 minit,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan Sabah FC secara keseluruhan lebih dominan sepanjang perlawanan dan layak untuk bergelar juara berdasarkan persembahan yang ditampilkan.
Dalam pada itu, beliau turut memuji sokongan padu penyokong yang dianggap sebagai faktor penting membantu pasukan terutama ketika perlawanan memasuki masa tambahan.
“Kami dapat rasakan tenaga daripada penyokong. Mereka sangat penting dalam kejayaan ini,” katanya.
Kejayaan tersebut turut menjadi trofi pertama Garrido bersama Sabah FC sekali gus membuka lembaran baharu buat pasukan dalam saingan akan datang.






