Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Pertumbuhan Ekonomi dan Pasaran Buruh Sabah Menunjukkan Prestasi Memberangsangkan

Read Time:3 Minute, 57 Second

Oleh Wan Azrain Adnan

Seiring dengan pertumbuhan ekonomi Sabah yang semakin rancak, lebih ramai rakyat Sabah menyertai pasaran buruh dan berjaya memperoleh pekerjaan. Seterusnya, pekerja Sabah turut dapat menikmati pendapatan yang lebih tinggi.

Berdasarkan Laporan Sosioekonomi Sabah 2025 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada awal Ogos 2026, Sabah merekodkan pertumbuhan ekonomi yang kukuh sebanyak 5.1% pada tahun 2025, berbanding 1.2% pada tahun 2024.

Seterusnya, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah meningkat daripada RM84.5 bilion pada tahun 2024 kepada RM88.8 bilion pada tahun 2025.

Dalam kalangan sektor ekonomi Sabah, sektor pembinaan melonjak sebanyak 28.3%, disusuli sektor pembuatan (5.0%), perlombongan dan pengkuarian (4.9%), perkhidmatan (4.5%) serta pertanian (0.9%).

Namun begitu, sektor perkhidmatan kekal sebagai sektor ekonomi terbesar dengan nilai RM46.2 bilion dan menyumbang 52.1% kepada keseluruhan KDNK Sabah. Nilai dan sumbangan sektor-sektor lain adalah seperti berikut:

  • Perlombongan dan pengkuarian: RM19.5 bilion (22.0%)
  • Pertanian: RM12.4 bilion (13.9%)
  • Pembuatan: RM6.4 bilion (7.2%)
  • Pembinaan: RM3.9 bilion (4.4%)

Sebagai sektor ekonomi terbesar, sektor perkhidmatan juga merekodkan jumlah tenaga kerja paling ramai. Daripada 1.731 juta penduduk bekerja di Sabah, majoritinya bekerja dalam sektor perkhidmatan, iaitu seramai 1.026 juta orang (59.3%).

Walaupun sektor pertanian hanya menyumbang 13.9% kepada KDNK Sabah, sektor ini merekodkan jumlah tenaga kerja kedua paling ramai, iaitu 397 ribu orang (23.0%). Sebaliknya, sektor perlombongan dan pengkuarian merekodkan jumlah tenaga kerja paling sedikit, iaitu 7.5 ribu orang (0.4%).

Justeru, tidaklah mengejutkan bahawa paras pendapatan pekerja Sabah masih rendah kerana ramai yang terlibat dalam sektor pertanian, yang lazimnya menawarkan gaji dan upah lebih rendah berbanding sektor-sektor lain. Pada masa yang sama, tidak ramai yang bekerja dalam sektor perlombongan dan pengkuarian, yang menyediakan gaji dan upah tinggi.

Pada tahun 2024, penengah gaji dan upah di Sabah berada pada paras RM2,236, berbanding paras nasional sebanyak RM2,793. Purata gaji dan upah di Sabah pula ialah RM3,389, berbanding paras nasional sebanyak RM3,652.

Menurut DOSM, penengah gaji dan upah pekerja lelaki di Sabah meningkat 9.3% kepada RM2,094, manakala bagi pekerja wanita meningkat 8.8% kepada RM2,476. Purata gaji dan upah pekerja lelaki di Sabah pula meningkat 10.3% kepada RM3,455, manakala bagi pekerja wanita meningkat 5.4% kepada RM3,285.

Walaupun masih rendah berbanding paras nasional, Sabah merekodkan peningkatan gaji dan upah yang agak memberangsangkan sepanjang enam tahun, dari tahun 2019 hingga 2024:

  • Penengah: meningkat 13%, daripada RM1,980 kepada RM2,236
    • Purata: meningkat 19%, daripada RM2,836 kepada RM3,389

Menariknya, siswazah Sabah menikmati gaji dan upah yang lebih tinggi berbanding paras keseluruhan Sabah, dengan penengah gaji dan upah hampir dua kali ganda lebih tinggi. Penengah dan purata gaji dan upah siswazah meningkat seperti berikut:

  • Penengah: daripada RM4,219 pada tahun 2023 kepada RM4,319 pada tahun 2024
  • Purata:  daripada RM4,413 pada tahun 2023 kepada RM4,535 pada tahun 2024

Dengan pertumbuhan ekonomi yang lebih rancak dan lebih banyak peluang pekerjaan ditawarkan, semakin ramai rakyat Sabah menyertai pasaran tenaga buruh. Pada tahun 2025, Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB) Sabah mencapai 70.3%. Sepanjang lima tahun, dari tahun 2021 hingga 2025, KPTB Sabah meningkat daripada 68.7% kepada 70.3%.

Kadar Penyertaan Tenaga Buruh Siswazah (KPTBS) Sabah pula berada pada paras lebih tinggi, iaitu 87.6% pada tahun 2024. Bilangan siswazah Sabah turut meningkat 4.5% kepada 361.8 ribu orang pada tahun 2024.

Pada masa yang sama, lebih ramai rakyat Sabah berjaya memperoleh pekerjaan. Sepanjang lima tahun, dari tahun 2021 hingga 2025, kadar pengangguran Sabah menurun daripada 8.5% kepada 7.2%.

Lebih memberangsangkan, kadar pengangguran Sabah berada pada paras 5.5% bagi suku pertama tahun 2026.

Kadar pengangguran siswazah Sabah pula menurun daripada 7.9% pada tahun 2023 kepada 7.1% pada tahun 2024. Kadar pengangguran siswazah lelaki ialah 5.9%, manakala kadar bagi siswazah wanita lebih tinggi, iaitu 8.3%.

Ini merupakan situasi yang memberangsangkan. Ketika semakin ramai rakyat Sabah menyertai pasaran buruh, seperti ditunjukkan oleh peningkatan KPTB, semakin ramai juga berjaya memperoleh pekerjaan, seperti dicerminkan oleh penurunan kadar pengangguran.

Hal ini bermakna pertumbuhan ekonomi Sabah berjaya menyediakan banyak pekerjaan yang dapat menampung peningkatan penyertaan tenaga buruh, sekali gus mengurangkan kadar pengangguran.

Lebih-lebih lagi, momentum kejayaan ini dijangka berterusan memandangkan Sabah merekodkan jumlah pelaburan yang besar, iaitu RM14.550 bilion pada tahun 2025. Sudah pasti lebih banyak peluang pekerjaan bakal tersedia apabila pelaburan berkenaan direalisasikan dalam tempoh terdekat.

Sebagai perbandingan, jumlah pelaburan di Sabah pada tahun 2024 ialah RM6.457 bilion.

Justeru, rakyat Sabah bakal menikmati manfaat pertumbuhan ekonomi negeri yang rancak melalui lebih banyak peluang pekerjaan serta pendapatan yang lebih tinggi. Sedikit demi sedikit, langkah demi langkah, Sabah kini berada di landasan yang kukuh untuk mencapai kegemilangan.

LEAVE A RESPONSE