Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Amaran awal tsunami di Sabah: Masyarakat dinasihatkan tenang dan patuhi arahan pihak berkuasa

Read Time:1 Minute, 42 Second

KOTA KINABALU : Masyarakat khususnya penduduk di kawasan pantai timur Sabah diminta supaya kekal tenang dan tidak panik susulan kejadian gempa bumi kuat di Mindanao, Filipina yang mencetuskan amaran awal tsunami melibatkan beberapa kawasan di negeri ini.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, gempa bumi bermagnitud 7.9 dengan kedalaman 50 kilometer telah dikesan berlaku pada jam 7.37 pagi pada Isnin.

Menurut beliau, pusat gempa bumi tersebut berpusat pada latitud 5.7 darjah Utara dan longitud 125.1 darjah Timur di kawasan Mindanao, Filipina.

Katanya, gegaran turut dirasai di beberapa kawasan sekitar Tawau dan Semporna, Sabah.

“Berdasarkan analisis Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), tsunami setinggi 0.4 meter dijangka melanda kawasan pantai di Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu antara jam 10.30 pagi hingga 12.00 tengah hari, 8 Jun 2026,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, siren nasihat tsunami telah dibunyikan di empat lokasi berkenaan sebagai langkah kesiapsiagaan serta amaran awal kepada penduduk di kawasan terlibat.

Sehubungan itu, Arthur menyeru penduduk khususnya di kawasan pantai sekitar Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu supaya kekal bertenang serta memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.

“Saya menggesa semua penduduk di kawasan terlibat untuk mematuhi serta-merta segala arahan keselamatan atau evakuasi yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan demi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini.

“Pada masa sama, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mendekati kawasan pantai dalam tempoh yang dinyatakan demi keselamatan diri dan keluarga,” katanya.

Menurutnya, kerajaan melalui MET Malaysia dan agensi keselamatan berkaitan sedang memantau keadaan berkenaan secara rapi dari semasa ke semasa.

Tambah beliau, MET Malaysia akan terus memantau perkembangan aktiviti gempa susulan serta risiko tsunami dan akan menyalurkan maklumat terkini kepada orang ramai.

“Orang awam diingatkan supaya tidak menyebarkan sebarang maklumat palsu yang boleh mencetuskan kegusaran awam.

“Dapatkan maklumat sahih berkaitan cuaca, gempa bumi dan tsunami melalui saluran rasmi MET Malaysia, aplikasi myCuaca, media sosial rasmi jabatan atau talian Hotline 1300-22-1638,” katanya.

Beliau turut berharap semua penduduk di kawasan terlibat sentiasa mengutamakan keselamatan dan berdoa agar keadaan kekal terkawal.

LEAVE A RESPONSE