Read Time:1 Minute, 44 Second
KOTA BELUD: Pusat Kajian Bencana Alam (NDRC), Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan Program Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM) di Melangkap View Camp Site, Kampung Melangkap Baru bagi meningkatkan kesedaran komuniti mengenai pengurusan risiko bencana.
Program tersebut merupakan hasil kerjasama NDRC UMS, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Pejabat Daerah Kota Belud, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Task Force Bencana Melangkap.

Pengarah NDRC, UMS, Profesor Madya Ts. Gs. Dr. Carolyn Melissa Payus berkata penganjuran program itu bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan masyarakat mengenai risiko bencana di Melangkap serta meningkatkan kefahaman mereka mengenai peranan komuniti dan agensi dalam pengurusan bencana.
“CBDRM berupaya meningkatkan tahap kesiapsiagaan komuniti dalam menghadapi risiko bencana, di samping memperkukuh daya tahan masyarakat agar lebih bersedia menghadapi sebarang kejadian tidak dijangka.
“Keistimewaan pelaksanaan CBDRM di Melangkap adalah kerana komuniti setempat telah mempunyai Task Force Bencana Melangkap yang berperanan penting dalam pengurusan risiko bencana di peringkat lokaliti.
“Kewujudan Task Force ini menjadi kekuatan dalam pelaksanaan CBDRM kerana komuniti sendiri merupakan pasukan tindak balas awal (first responder) yang lebih mengetahui keadaan, keperluan dan risiko di kawasan masing-masing,” katanya.

Tambah Carolyn, peranan Task Force berasaskan tiga kekuatan utama komuniti iaitu keupayaan bertindak segera sebelum bantuan rasmi tiba, memahami keperluan setempat serta menggunakan pengetahuan tempatan untuk mengenal pasti kawasan berisiko dan kumpulan yang terjejas.
“Program tersebut menghimpunkan penyertaan komuniti daripada lima buah kampung di Melangkap iaitu kampung Melangkap Baru, Kampung Melangkap Kapa, Kampung Melangkap Tiong, Kampung Melangkap Tomis dan Kampung Melangkap Noriou.
“Antara pengisian utama program ialah taklimat mengenai peranan agensi dan komuniti dalam pengurusan bencana, taklimat Task Force Bencana Melangkap, simulasi gempa bumi, latihan penyelamatan di sungai, latihan pertolongan cemas dan CPR, latihan kecemasan kebakaran SURI serta aktiviti Town Watching – pemetaan risiko bencana,” ujar beliau.
Melalui aktiviti Town Watching, komuniti turut mengenal pasti kawasan berisiko, laluan evakuasi dan kawasan selamat berdasarkan keadaan setempat sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan bencana.
Pelaksanaan CBDRM di Melangkap diharap dapat terus menyokong peranan Task Force Bencana Melangkap sebagai first responder yang berasaskan pengetahuan dan kekuatan komuniti setempat dalam menghadapi risiko bencana.






