Read Time:2 Minute, 51 Second
KOTA KINABALU: Pelaksanaan pengesahan MyKad bagi pembelian diesel bersubsidi di bawah inisiatif BUDI Diesel di Sabah berjalan lancar tanpa menimbulkan masalah besar kepada pengguna.
Tinjauan mendapati kebanyakan pengguna mengakui proses pengesahan MyKad di stesen minyak mudah digunakan, dengan tempoh pengesahan hanya mengambil masa antara beberapa saat hingga beberapa minit bergantung kepada keadaan sistem dan jumlah pelanggan di stesen minyak.
Seorang pengguna, Mohd Saiful Jundulloh, berkata proses pengesahan MyKad berjalan seperti biasa dan tidak menimbulkan sebarang kesulitan ketika mengisi diesel.
“Proses pengesahan sehingga pam diaktifkan hanya mengambil masa sekitar dua hingga tiga minit dan tidak banyak berbeza dengan sistem yang digunakan sebelum ini,” katanya.
Pandangan sama turut dikongsi Azizan Amjah yang menyifatkan penggunaan MyKad di pam minyak adalah mudah selagi sistem pengimbas berfungsi dengan baik.

Menurutnya, pengalaman menggunakan sistem berkenaan tidak menimbulkan masalah, malah proses pengesahan boleh diselesaikan dalam tempoh kurang 10 saat.
Sementara itu, seorang lagi pengguna, Atay Alex, berpandangan penggunaan aplikasi digital juga merupakan pilihan yang lebih pantas kerana pengguna tidak perlu mengeluarkan MyKad untuk mengaktifkan pam.
Bagaimanapun, walaupun pelaksanaan sistem tidak menjadi isu utama, kebanyakan pengguna melahirkan kebimbangan bahawa kuota subsidi sebanyak 200 liter sebulan tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan penggunaan sebenar di Sabah.
Mereka berkata keadaan geografi negeri ini yang memerlukan perjalanan jauh antara daerah menyebabkan penggunaan diesel jauh lebih tinggi berbanding di Semenanjung.
Mohd Saiful berkata kuota sedia ada tidak mencukupi kerana kenderaan dieselnya digunakan setiap hari bagi urusan kerja, menghantar anak ke sekolah, menghantar barangan pelanggan serta mengambil stok perniagaan.
Jumain Waris pula berkata perjalanan ulang-alik dari Kota Kinabalu ke Kalabakan sahaja boleh menggunakan kira-kira 50 liter diesel, menyebabkan kuota bulanan habis dalam tempoh singkat jika perjalanan dilakukan beberapa kali.
Menurutnya, walaupun kerajaan menyediakan pilihan peningkatan kuota kepada 300 liter bagi kategori tertentu, jumlah itu masih belum memadai bagi pengguna yang kerap melakukan perjalanan jauh.

Atay turut berpendapat kuota 200 liter mungkin mencukupi untuk kegunaan harian biasa, namun tidak memadai bagi mereka yang perlu pulang ke kampung atau melakukan perjalanan jauh secara berkala seperti laluan Kota Kinabalu-Tawau-Kota Kinabalu.
Azizan pula berkata kuota sedia ada masih mencukupi untuk kegunaan hariannya, namun beliau tetap bercadang memohon kuota tambahan kerana bimbang jumlah itu tidak mencukupi apabila perlu melakukan perjalanan jauh.
Selain meminta kerajaan menilai semula jumlah kuota subsidi, pengguna turut berharap proses permohonan kuota tambahan dapat dipermudah serta mekanisme yang lebih fleksibel diperkenalkan.
Ini termasuk mengambil kira penggunaan kenderaan diesel oleh ahli keluarga yang bukan pemilik berdaftar.
Bagi menangani keperluan tersebut, Kementerian Kewangan turut memperkenalkan mekanisme Pemindahan Kelayakan BUDI Diesel yang membolehkan penerima yang layak memindahkan fungsi pembelian diesel bersubsidi kepada seorang ahli keluarga terdekat yang turut layak menerima BUDI95.
Dengan mekanisme ini, ahli keluarga berkenaan boleh membeli diesel bersubsidi menggunakan MyKad sendiri. Permohonan boleh dibuat menerusi portal rasmi BUDI MADANI.
Kementerian Kewangan memaklumkan hampir 700,000 pemilik kenderaan diesel persendirian di seluruh negara layak menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter di bawah program BUDI Diesel.
Kelayakan terbuka kepada warganegara Malaysia yang memiliki MyKad, lesen memandu yang sah serta kenderaan diesel persendirian berdaftar atas nama sendiri dengan cukai jalan yang masih aktif.
Pemilik pikap dan jip diesel yang memenuhi syarat turut boleh memohon tambahan 100 liter, menjadikan jumlah kelayakan sehingga 300 liter sebulan.
Selain itu, kira-kira 70,000 kenderaan komersial dan pengangkutan barangandi Sabah, Sarawak dan Labuan turut layak mendapatkan diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi(SKDS).






