LABUAN : Sebuah kenderaan mewah jenis BMW X5 disita dalam satu Operasi (Ops) Khas Luxury yang dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sabah di Jalan Merdeka, Wilayah Persekutuan Labuan di sini.
Pengarah JPJ Sabah Datuk Mohd Harris Ali berkata, kenderaan itu disita selepas dikesan atas kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) telah tamat tempoh.
“Kesalahan tersebut telah melanggar peraturan dan undang-undang jalan raya di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) di bawah seksyen 23(1).
“Kenderaan disita untuk tindakan selanjutnya mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan di sini.
Mohd Harris berkata, operasi itu akan diteruskan secara berterusan dan JPJ tidak akan teragak- agak mengambil tindakan tegas termasuk pendakwaan mahkamah di bawah peraturan dan undang-undang yang berkuatkuasa.
“Kita berharap agar semua pemilik kenderaan memastikan LKM dan insurans sentiasa aktif bagi melindungi pengguna jalan raya serta memastikan pematuhan undang-undang demi keselamatan bersama,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO JPJ SABAH






