Read Time:2 Minute, 39 Second
CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mempercepat pelaksanaan Inisiatif Ketersambungan Penjagaan Kesihatan Masa Hadapan (Future Healthcare Connectivity Initiative – FHCI) bagi menyokong penyampaian perkhidmatan kesihatan yang lebih pantas, lancar dan saling terhubung di klinik serta hospital kerajaan di seluruh negara.
Melalui FHCI, Malaysia kini berada pada landasan untuk menjadi antara negara terawal di dunia melaksanakan sistem penjagaan kesihatan awam primer digital bersepadu sepenuhnya menjelang 2027, sekali gus mempercepat sasaran asal yang ditetapkan bagi tahun 2045.
Berteraskan pelaburan ketersambungan nasional menerusi inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA), FHCI memanfaatkan infrastruktur digital negara untuk memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan serta meningkatkan akses rawatan kepada komuniti di seluruh negara, termasuk kawasan luar bandar dan kurang mendapat perkhidmatan.
Inisiatif itu membolehkan fasiliti kesihatan mengakses rekod pesakit dengan lebih cekap, mengurangkan kelewatan pentadbiran serta menyokong penyelarasan rawatan yang lebih baik antara klinik dan hospital.
Langkah berkenaan dijangka meningkatkan pengalaman pesakit secara keseluruhan menerusi tempoh menunggu yang lebih singkat, akses maklumat yang lebih pantas serta kesinambungan rawatan yang lebih lancar.
MCMC berkata, ketika sistem kesihatan global berdepan peningkatan permintaan dan tekanan operasi, FHCI mencerminkan komitmen Malaysia dalam memanfaatkan ketersambungan digital bagi memperkukuh kecekapan, kebolehcapaian dan kelestarian jangka panjang perkhidmatan kesihatan awam negara.
Di bawah inisiatif itu, sistem penjagaan kesihatan digital sedang dilaksanakan di 2,488 fasiliti penjagaan kesihatan primer dan 150 hospital kerajaan di seluruh negara menerusi Sistem Pengurusan Klinik Berasaskan Awan (CCMS) serta ekosistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) bersepadu.
Pelaksanaan EMR oleh KKM di Perlis dan Wilayah Persekutuan Labuan kini mula beroperasi, menjadikan kedua-dua negeri dan wilayah persekutuan itu yang pertama di Malaysia mencapai perkhidmatan penjagaan kesihatan primer digital sepenuhnya.
Menurut MCMC, pencapaian berkenaan dicapai hasil penilaian infrastruktur menyeluruh, kesiapsiagaan ketersambungan serta program pembangunan kapasiti untuk petugas kesihatan.
Sehingga kini, sebanyak 468 fasiliti penjagaan kesihatan primer telah dilengkapi dengan sistem EMR, iaitu peningkatan empat kali ganda dalam tempoh kurang tiga tahun.
Hasil pelaksanaan peringkat awal turut menunjukkan perkembangan positif apabila 81 peratus pesakit kini menerima rawatan dalam tempoh satu jam, sekali gus mengurangkan masa menunggu secara ketara.
Sistem itu juga menyokong lebih 75,000 transaksi pesakit setiap hari, membuktikan sistem digital berhubung mampu memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan serta meningkatkan akses rakyat kepada perkhidmatan kesihatan di seluruh negara.
Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali berkata, MCMC menjadi pemacu utama usaha memperluas ketersambungan menyeluruh di seluruh negara berlandaskan prinsip “di mana ada jalan, di situ ada internet”.
“Hari ini, asas tersebut membolehkan perkhidmatan kesihatan yang lebih terhubung dan cekap untuk rakyat Malaysia.
“Inisiatif ini memperkukuh asas kepada sistem kesihatan yang lebih berdaya tahan bagi memenuhi keperluan komuniti di seluruh negara,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Mahathar Abd Wahab berkata, negara kini bergerak ke arah konsep “satu individu, satu rekod” bagi membolehkan maklumat dikongsi secara selamat, tepat dan masa nyata merentasi sistem kesihatan.
“Ini akan membantu mengurangkan masa menunggu, menyokong keputusan klinikal yang lebih pantas serta memastikan pesakit menerima rawatan lebih lancar merentasi klinik dan hospital di seluruh negara,” katanya.
Pelaksanaan FHCI kini diteruskan menerusi penubuhan jawatankuasa pemandu bersama khusus bagi menyelaras pelaksanaan, tadbir urus dan koordinasi antara agensi.
Inisiatif itu dilihat sebagai langkah penting ke arah memperkukuh sistem kesihatan Malaysia yang lebih berhubung, cekap dan mampan.






