Read Time:2 Minute, 4 Second
KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan diminta untuk memberikan bidang kuasa yang lebih besar kepada Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) khususnya dalam pemantauan bekalan beras di Sabah.
Ahli Parlimen Sipitang Datuk Matbali Musah berkata, langkah itu penting bagi memastikan sebarang isu berkaitan bekalan beras dapat dikenal pasti dan ditangani.
Beliau berkata, LPBS perlu diberi peranan lebih signifikan sebagai rakan strategik Kerajaan Persekutuan, khususnya dalam pemantauan bekalan beras, pengumpulan data stok dan penguatkuasaan bersama.
Menurutnya, ia juga harus meliputi aspek perancangan keselamatan makanan negeri serta penyelarasan pengagihan bekalan ketika berlaku krisis.
“Pendekatan ini bukan untuk mengambil alih kuasa Persekutuan, tetapi bagi memperkukuhkan kerjasama demi kepentingan rakyat Sabah,” katanya.
Matbali berkata demikian ketika berucap membahas Rang Undang-Undang (RUU) Akta Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2026 di Dewan Rakyat, di sini.
Untuk itu, katanya, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Persekutuan perlu berganding bahu dan menjalin kerjasama strategik dengan Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Negeri Sabah.
Sambil menyifatkan langkah Kerajaan Sabah menubuhkan LPBS sebagai berpandangan jauh, Matbali turut membangkitkan tiga persoalan penting untuk ditangani KPKM berkaitan isu padi dan beras di Sabah.
“Pertama, mengapakah subsidi pesawah di Sabah masih dihadkan kepada enam ekar sedangkan struktur pengusahaan, keluasan tanah dan kos pengeluaran di Sabah jauh berbeza daripada Semenanjung.
“Kedua, bolehkah Kementerian memberi jaminan bahawa kuota 25,000 tan metrik beras sebulan untuk Sabah akan dipenuhi secara konsisten tanpa sebarang kekurangan atau kelewatan.
“Ketiga, adakah Kerajaan bersedia mewujudkan Stok Penimbal Beras Sabah serta memberikan peranan yang lebih besar kepada LPBS dalam pemantauan bekalan, pengurusan stok dan perancangan keselamatan makanan negeri?,” katanya.
Mengenai RUU yang dibentangkan, beliau menyifatkannya sebagai benteng baharu kepada sistem bekalan makanan negara.
“Ia memperkukuh pemantauan, memperkemaskan penguatkuasaan, membanteras manipulasi dan mematahkan kerakusan kartel.
“Lebih penting, ia mengembalikan keyakinan rakyat bahawa kerajaan tidak membiarkan makanan ruji mereka terus diperdagangkan sesuka hati oleh golongan tidak bertanggungjawab,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyokong penuh cadangan menaikkan penalti terhadap mereka yang melanggar undang-undang berkaitan padi dan beras.
Matbali turut meminta kerajaan mengenal pasti lebih banyak kawasan jelapang padi baharu serta menggunakan teknologi moden, termasuk kecerdasan buatan dalam membangunkan industri tanaman padi.
Katanya, Sabah masih mempunyai khazanah tanah yang luas dan berpotensi untuk dibangunkan, misalnya di kawasan pantai Barat Sabah, dari Papar hingga ke Sipitang sahaja terdapat lebih 4,000 hektar tanah yang dikenal pasti berpotensi untuk pembangunan padi.
“Jika kawasan ini dibangunkan secara moden dengan mekanisasi, sistem pengairan pintar dan teknologi baharu, Sabah mampu menjadi antara penyumbang penting bekalan beras negara,” katanya.






