Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Liga Super : Garrido seru penyokong jadi ‘pemain ke-12’ Likas esok

Read Time:2 Minute, 16 Second

KOTA KINABALU: Penyokong Sabah FC diseru untuk hadir memenuhi Stadium Likas bagi memberikan sokongan padu kepada pasukan itu pada aksi Liga Super 2026 menentang Kuching City FC dalam aksi Borneo Derby, di sini malam esok.

Ketua Jurulatih Sabah FC, Juan Torres Garrido berkata kehadiran penyokong di stadium amat penting bagi membantu pemain, khususnya ketika berdepan detik sukar sepanjang perlawanan.

Menurutnya, sokongan daripada penyokong mampu menjadi tenaga tambahan kepada pasukan selepas Sabah mengharungi jadual padat dengan tempoh rehat yang singkat.

“Kami perlukan stadium yang penuh untuk memberikan tenaga tambahan yang kami perlukan, membantu kami dalam detik-detik sukar dan bersama-sama menikmati saat-saat yang baik,” katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Sabah hanya mempunyai tempoh rehat dua hari selepas beraksi menentang Selangor FC sebelum kembali turun ke padang untuk menghadapi Kuching City.

Garrido berkata keadaan itu menjadikan pertemuan Borneo Derby kali ini satu lagi ujian besar buat skuad kendaliannya, terutama dari aspek kecergasan dan pemulihan pemain.

“Kami teruja untuk bermain dalam perlawanan ini. Ia satu lagi ujian hebat untuk kedua-dua pasukan, tetapi kami hadir dalam keadaan yang berbeza kerana baru bermain dua hari lalu dan ia menentang Selangor,” katanya.

Beliau berkata Sabah perlu mengharungi tiga perlawanan dalam tempoh tujuh hari, termasuk berdepan dua pasukan yang disifatkannya sebagai pasukan hebat.

Katanya, jadual berkenaan menuntut tenaga yang besar daripada pemain, lebih-lebih lagi ia berlaku pada peringkat awal musim.

“Kami perlu bermain tiga perlawanan dalam tujuh hari menentang dua pasukan yang hebat dan ia datang sangat awal dalam musim ini.

“Perlawanan terakhir serta minggu latihan kami menuntut banyak tenaga dalam keadaan yang kurang ideal. Kami berharap ia tidak menjejaskan keadaan pemain untuk menghadapi perlawanan seterusnya,” katanya.

Bagaimanapun, Garrido berkata keadaan pemain sentiasa dipantau dari semasa ke semasa bagi memastikan mereka berada pada tahap terbaik untuk menghadapi Kuching City.

Dalam pada itu, beliau mengakui bahang Borneo Derby sudah mula dirasai dalam kalangan pemain tempatan Sabah selain penyokong yang dijangka memenuhi Stadium Likas.

“Kami bermotivasi untuk Borneo Derby ini. Kami dapat merasakannya daripada pemain tempatan dan kami juga dapat merasakan penyokong kami begitu,” katanya.

Garrido berkata Sabah sudah tiga kali beraksi di laman sendiri musim ini dan sokongan penyokong yang hadir ke Likas sentiasa memberikan suasana positif kepada pasukan.

Justeru, beliau berharap lebih ramai penyokong hadir bagi membantu Sabah mengharungi cabaran selepas tempoh rehat yang singkat.

“Pada ketika ini, kami perlukan penyokong untuk memberikan kuasa tambahan yang kami perlukan selepas hanya dua hari berehat daripada perlawanan terakhir,” katanya.

Garrido mahu anak buahnya menampilkan tenaga, sikap positif dan cita-cita tinggi dalam aksi berkenaan, selain berharap penyokong dapat menikmati persembahan menarik daripada pasukan.

“Tenaga, sikap positif, cita-cita dan menikmati perlawanan yang baik. Kami berjanji mereka akan menikmati masa yang hebat,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO SABAH FC

LEAVE A RESPONSE