KENINGAU – Seramai 27 pelajar Teknologi Elektrik Kolej Vokasional (KV) Keningau telah melaksanakan projek khidmat komuniti “Volt Prihatin” di sebuah Sekolah Rendah Kebangsaan (SK) Jaya Baru, Keningau, dengan memasang dan membaiki 13 kipas siling dan 58 mentol lampu pada 21 Julai 2026.
Projek ini merupakan satu-satunya penerima geran YouthMADE Festival Amplify Grant tahun 2026 daripada negara Malaysia sebanyak RM 2000 untuk melaksanakan project ini.

Projek Volt Prihatin ini diasas oleh program ini pada tahun 2025 sebagai salah satu cara meningkatkan penguasaan kemahiran para pelajar melalui pengalaman dunia sebenar dan dalam masa yang sama memperkasakan pendidikan vokasional dengan membolehkan para pelajar berbakti kepada masyarakat melalui pendidikan yang diperolehi.

Projek ini pernah dilaksanakan di SK Bariawa Ulu dan Rumah Kanak-Kanak Bondulu Toboh, Tambunan. Selain daripada perkhidmatan membaiki kemudahan elektrik bangunan, projek ini juga menawarkan perkhidmatan membaiki perkakas elektrik seperti ketuhar, kipas meja, periuk nasi elektrik yang boleh dihantar terus ke bengkel tersebut.

Projek ini diselaraskan oleh Miliani Tamrin yang merupakan salah seorang tenaga pengajar teknologi elektrik di kolej itu dengan bantuan para guru yang lain khususnya daripada program yang sama.
Pengarah KV Keningau, Lumang anak Lang, menyatakan rasa bangga dengan kesungguhan para pelajar dan guru di kolej tersebut dalam membantu komuniti setempat berasaskan kemahiran, pengetahuan dan minat mereka. Ini sejajar dengan matlamat pendidikan negara untuk membentuk perwatakan pelajar yang positif.







