Read Time:1 Minute, 30 Second
PUTATAN: Kreativiti dalam penyediaan menu sihat dilihat antara pendekatan membantu masyarakat menghadapi tekanan kos sara hidup dan isu keselamatan makanan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya berkata, pemilihan menu sihat dalam pemakanan harian bukan sahaja menjimatkan perbelanjaan isi rumah, malah memastikan sumber makanan lebih selamat dan segar.
Jelasnya, menu makanan sihat tidak semestinya mahal, sebaliknya memerlukan kreativiti masyarakat untuk beralih daripada rutin pemakanan konvensional kepada pilihan yang lebih berkhasiat dan menjimatkan.
“Memasuki tahun 2026, cabaran kos sara hidup dan keselamatan makanan memerlukan kita lebih kreatif.
“Dengan menggunakan bahan tempatan Sabah yang segar, daripada hasil laut hingga sayur-sayuran tanah tinggi, kita sebenarnya mengurangkan kebergantungan kepada bekalan luar serta menyokong ekonomi komuniti setempat,” katanya.
“Apabila kita membeli daripada jiran yang berbeza bangsa, di situlah integrasi nasional berlaku secara semula jadi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Menu Sihat Perpaduan Peringkat Negeri Sabah anjuran Pusat Rukun Tetangga Taman Pantai Lok Kawi di Taman Pantai Lok Kawi, hari ini.
Hadir sama Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Sabah, Rina Abd Harun; Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tanjung Keramat, Latip Jiar; dan Pegawai Kemajuan Masyarakat Tanjung Keramat, Syed Arizal Karim.

Mengulas lanjut, Shah Alfie yang juga Pengerusi Perkasa Trading Sdn Bhd berkata, pihaknya menyeru semua Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan jentera perpaduan di seluruh Sabah menjadikan elemen kesihatan ini sebagai aktiviti rutin di kawasan masing-masing.
“Gunakan platform Menu Sihat untuk menarik minat generasi muda (Gen Z dan Gen Alpha) agar mereka menghargai warisan makanan tradisi yang telah diubah suai menjadi lebih sihat.
“Menu Sihat Perpaduan ini membawa mesej yang sangat jelas di mana melalui pemakanan seimbang, kita mengurangkan beban penyakit tidak berjangkit.
“Sejak dahulu lagi, meja makan adalah tempat di mana jurang perbezaan dihapuskan. Kita makan bersama, berkongsi resipi, dan saling menghormati budaya masing-masing,” katanya lagi.







