Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Koperasi Green Sabah sedia teroka sektor minyak dan gas

Read Time:2 Minute, 39 Second

SANDAKAN: Koperasi Green Sabah Berhad bersedia meneroka peluang perniagaan baharu dalam sektor minyak dan gas di Sabah susulan kedudukan kewangannya yang semakin kukuh dengan nilai pegangan aset tetap mencecah RM49.5 juta.

Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata kedudukan kewangan koperasi itu meningkat daripada RM4.5 juta pada 2007 kepada RM20.4 juta pada 2024, hasil transformasi tadbir urus ke arah pengurusan lebih cekap dan telus.

Katanya, antara pencapaian penting koperasi itu ialah pembelian satu blok bangunan kedai di Bandar Megah Jaya bernilai RM4.9 juta pada 2012 serta pembiayaan penuh pembinaan Rimba Point dengan kos RM9.65 juta.

“Rimba Point yang siap pada 2025 membuka sumber pendapatan baharu melalui penyewaan premis, manakala pendapatan tahunan koperasi kini mencecah kira-kira RM3.13 juta.

“Pencapaian ini membuktikan bahawa pengurusan yang berdisiplin dan berwawasan mampu membawa perubahan besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-27 Koperasi Green Sabah Berhad di Dewan Hakka, Sandakan, baru-baru ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri Kewangan II, Dato’ Sr Ishak Ayub.

Masidi berkata, Kerajaan Negeri menyokong hasrat koperasi itu meneroka peluang perniagaan dalam sektor minyak dan gas di Sandakan serta Lahad Datu, yang dikenal pasti sebagai sebahagian daripada kawasan pembangunan Pantai Timur Sabah bagi sektor berkenaan.

Katanya, kedudukan kewangan dan aset yang kukuh membolehkan koperasi mempertimbangkan peluang yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Industri Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas Sabah (OGSE) 2026–2030.

“Antara bidang yang berpotensi diterokai termasuk logistik dan pengangkutan, pembekalan bahan serta peralatan industri, peralatan perlindungan diri (PPE), perkhidmatan sokongan operasi, penyewaan pejabat dan penginapan pekerja, selain katering serta bekalan makanan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan pihak koperasi mengadakan sesi libat urus dengan Sabah Energy Sdn Bhd bagi mendapatkan panduan mengenai pengetahuan, kemahiran dan keupayaan yang diperlukan untuk menceburi sektor berkenaan.

Bagaimanapun, Masidi menegaskan setiap usaha pengembangan perniagaan perlu dirancang dengan teliti, termasuk menilai daya maju projek, risiko serta keupayaan koperasi melaksanakannya bagi memastikan kepentingan anggota terus terpelihara.

Beliau berkata, kekuatan sesebuah koperasi bukan hanya diukur berdasarkan keuntungan atau nilai aset, sebaliknya turut bergantung pada kepercayaan, penglibatan dan kerjasama anggotanya.

Katanya, kemajuan perniagaan perlu diterjemahkan kepada manfaat nyata kepada anggota dan keluarga mereka, selaras dengan matlamat penubuhan koperasi.

“Keuntungan penting untuk menjamin kelangsungan perniagaan, dan manfaat kepada anggota mesti terus menjadi keutamaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh pelbagai bantuan kebajikan yang disediakan Koperasi Green, antaranya khairat kematian sebanyak RM3,000 bagi anggota dan RM1,500 bagi ahli keluarga, bantuan kepada anggota yang dimasukkan ke hospital serta keluarga yang terjejas akibat banjir.

Koperasi itu turut menyediakan anugerah kecemerlangan akademik kepada anak anggota yang memperoleh sekurang-kurangnya 6A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Masidi turut menggalakkan penglibatan aktif anggota dalam menentukan hala tuju koperasi, termasuk memanfaatkan mesyuarat agung tahunan sebagai platform menilai pencapaian, meneliti kedudukan kewangan dan mengemukakan cadangan penambahbaikan.

Beliau yang juga antara anggota terawal koperasi itu, yang dahulunya dikenali sebagai The Green Cooperative Society Limited, berkata perkembangan berkenaan membuktikan kepentingan amanah, kesungguhan dan semangat kebersamaan dalam membina organisasi yang mampan.

“Oleh itu, kita perlu berbincang secara terbuka, berlandaskan fakta dan saling menghormati bagi memastikan koperasi diurus dengan amanah, terus berkembang serta memberikan manfaat kepada seluruh anggotanya,” katanya.

LEAVE A RESPONSE