Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Ketua Polis Kota Kinabalu baharu fokus tiga teras kepimpinan

Read Time:1 Minute, 35 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu yang baharu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain, menggariskan tiga fokus utama sebagai teras kepimpinannya, iaitu memperkasa profesionalisme pasukan, melaksanakan penguatkuasaan undang-undang secara adil dan tegas serta memperkukuh kerjasama dengan masyarakat.

Beliau berkata, beliau tidak berhasrat merombak dasar sedia ada, sebaliknya akan meneruskan legasi kecemerlangan yang dibina sebelum ini melalui penambahbaikan berterusan selaras dengan aspirasi kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, tiga keutamaan itu akan menjadi asas dalam memastikan keselamatan, keamanan dan ketenteraman awam di daerah ini terus terpelihara.

“Dalam melaksanakan amanah ini, saya bertanggungjawab memacu pasukan agar berkhidmat secara profesional, menguatkuasakan undang-undang dengan adil dan tegas serta memperkukuh sinergi bersama masyarakat. Tiga paksi ini menjadi komitmen peribadi saya demi menjamin keselamatan dan ketenteraman di daerah ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Majlis itu disaksikan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun.

Shahrudin berkata, seluruh warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu perlu bergerak sebagai satu pasukan dalam menterjemahkan visi PDRM sebagai peneraju keselamatan negara yang dipercayai dan berintegriti.

Beliau berkata, kejayaan merealisasikan tiga fokus berkenaan memerlukan komitmen dan sokongan padu daripada kepimpinan Polis Kontinjen Sabah, seluruh warga PDRM, agensi kerajaan serta masyarakat.

Pada majlis sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Jauteh dan barisan kepimpinan PDRM atas kepercayaan yang diberikan untuk menerajui IPD Kota Kinabalu.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Abdul Rahman, atas kepimpinan, dedikasi dan integriti yang dipamerkan sepanjang memangku jawatan berkenaan.

Shahrudin berkata, keamanan merupakan asas kepada kemakmuran dan beliau komited mencurahkan sepenuh tenaga bagi memastikan Kota Kinabalu terus kekal aman, selamat serta kondusif menerusi kerjasama erat antara PDRM, agensi sahabat dan komuniti.

“Komitmen saya adalah jelas, iaitu memastikan seluruh warga IPD Kota Kinabalu bergerak seiring dan senada dalam merealisasikan visi PDRM sebagai peneraju keselamatan negara yang dipercayai dan berintegriti,” katanya.

LEAVE A RESPONSE