Read Time:1 Minute, 12 Second
KOTA MARUDU : Kerajaan negeri kekal komited menyemarakkan agenda pembangunan infrastruktur di kawasan luar bandar demi memastikan kesejahteraan rakyat di peringkat akar umbi terus terbela dan diberi keutamaan.
Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr. Maijol Mahap berkata, pelbagai projek kemudahan asas telah disalurkan ke Kg Tagaroh merangkumi rangkaian jalan raya, dewan masyarakat serta bekalan air demi kemudahan penduduk setempat.
“Kampung ini amat sinonim dengan arus pembangunan kerana kepimpinan negeri dan kawasan sentiasa memberi perhatian. Dari segi infrastruktur asas, jalan raya, dewan dan bekalan air memang sentiasa dititikberatkan.
“Rakyat di sini sedia maklum mengenai komitmen ini dan peranan kerajaan amat krusial bagi memastikan keperluan mereka terus dipenuhi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2026 Daerah Kota Marudu di Padang Kampung Tagaroh, di sini, pada Isnin
Maijol menegaskan perpaduan utuh dalam kalangan masyarakat menjadi tunjang utama yang membolehkan agenda pembangunan disalurkan secara berterusan dan lancar.
“Apabila rakyat bersatu padu, kerajaan amat menghargainya dan ini menjadi pemangkin untuk kita terus membawa lebih banyak kemajuan ke kawasan ini,” jelasnya.
Mengulas mengenai persinggahan konvoi KMJG, beliau berkata kehadiran rombongan berkenaan bukan sahaja merapatkan jambatan silaturahim antara kerajaan dengan rakyat, malah menyemarakkan lagi semangat patriotisme sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah pada 31 Ogos ini.
Bagi memeriahkan suasana, majlis turut diserikan dengan acara Sukan Rakyat seperti pertandingan tarik tali, terompah gergasi dan batu bata batang yang berjaya memupuk semangat kebersamaan warga setempat.






