Read Time:1 Minute, 36 Second
AYER KEROH: Kerajaan Persekutuan mengambil keputusan akan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) bagi memberikan kebebasan yang lebih menyeluruh kepada golongan mahasiswa di negara ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun akta berkenaan telah melalui beberapa proses pindaan sebelum ini, kerajaan mengambil maklum suara dan pandangan pelajar yang masih belum berpuas hati dengan lingkungan kebebasan sedia ada.
“Anak-anak mahasiswa merasakan mereka harus bebas, kita sudah bebaskan dengan pindaan AUKU, masih ada yang tidak puas hati, mereka mengemukakan memo.
“Maka pada hari ini saya nak umumkan, kita akan mansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Kongres Nasional Keadilan 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.
Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Panglima Hajiji Nor serta Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Mohamad Sabu.
Untuk rekod, AUKU yang diperkenalkan pada 1971 telah melalui proses pindaan sebanyak tujuh kali iaitu pada tahun 1971, 1975, 1983, 1996, 2009, 2012 dan terbaharu pada 2024.
Pindaan pada 2012 membenarkan mahasiswa menyertai kegiatan parti politik di luar kampus, manakala penambahbaikan pada 2024 menerusi Seksyen 16B memindahkan kuasa tindakan tatatertib pelajar daripada Naib Canselor kepada Jawatankuasa Tatatertib Pelajar.
Selain itu, pindaan Seksyen 15A AUKU pada 2024 turut memberi kebenaran kepada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan badan pelajar mengumpul dana serta menerima sumbangan mengikut peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Presiden PKR menegaskan bahawa kerajaan komited memperkasakan agenda reformasi pendidikan negara merangkumi pelbagai peringkat persekolahan dan latihan kemahiran.
Beliau menjelaskan, usaha berkenaan merangkumi penstrukturan semula kemasukan peringkat awal, pemantapan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Kita tidak mahu prasekolah itu hanya bagi kalangan elit di bandar dan kelas dua bagi anak-anak di pedalaman dan desa. Maka, itu sudah menjadi tanggungjawab Kementerian Pendidikan,” tegas beliau.






