Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Kenyataan ‘Melayu Sakau’ cetus kekecohan, Hulu Langat diarahkan tarik balik

Read Time:2 Minute, 9 Second

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat hari ini bertukar kecoh selepas Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan mengeluarkan kenyataan yang menyentuh isu kaum dan agama ketika sesi perbahasan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji.

Kenyataan itu dibuat ketika Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Amirudin Shari sedang membahaskan isu pengurusan dana Tabung Haji serta kaitannya dengan skandal SRC International dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketika mencelah perbahasan, Mohd Sany mendakwa terdapat pihak yang menggunakan naratif kaum dan agama untuk mempertahankan atau melepaskan diri daripada dakwaan salah guna kuasa.

Beliau kemudian mengeluarkan kenyataan yang mengaitkan perbuatan mencuri, merompak dan mengambil wang rakyat dengan kaum Melayu serta agama Islam.

Kenyataan itu segera mendapat bantahan daripada Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin yang meminta Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Ramli Mohd Nor mengambil tindakan mengikut Peraturan Mesyuarat.

Radzi berkata, kenyataan berkenaan merupakan tuduhan terlalu umum dan tidak wajar kerana boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap keseluruhan masyarakat Melayu.

“Saya minta Hulu Langat tarik balik. Itu satu tuduhan terlalu umum. Ada mana-mana, tak kisahlah kaum atau kafir yang terlibat dalam perkara tak baik, tetapi jangan generalise pada orang Melayu,” katanya.

Timbalan Speaker yang mempengerusikan persidangan itu kemudian mengarahkan Mohd Sany menarik balik kenyataan berkenaan berdasarkan Peraturan Mesyuarat 36(10), khususnya berkaitan penggunaan perkataan yang boleh menimbulkan rasa sakit hati atau ketegangan antara kaum.

Ramli berkata, sebagai pihak yang bertanggungjawab mengendalikan persidangan, beliau berpandangan ungkapan yang menyentuh sesuatu ras atau agama sehingga boleh menimbulkan ketidakselesaan, sama ada di dalam mahupun di luar Dewan, adalah tidak wajar.

“Dalam pertimbangan saya sebagai hakim di dalam ini, ungkapan menunjukkan sesuatu ras di dalam negara yang boleh menimbulkan ketidakselesaan baik di dalam atau luar dewan adalah sesuatu yang tidak wajar.

“Saya perintahkan Hulu Langat tarik apa yang dinyatakan berkaitan ras dan agama Islam tersebut,” katanya.

Mohd Sany pada mulanya cuba mempertahankan kenyataannya dengan menjelaskan bahawa beliau merujuk kepada segelintir tokoh pimpinan yang dinamakan dalam laporan RCI.

Bagaimanapun, selepas diberi amaran bahawa beliau boleh diperintah keluar dari Dewan jika enggan mematuhi arahan, Mohd Sany akhirnya bersetuju menarik balik kenyataan itu.

“Saya tarik balik, cuma saya pembetulkan… segelintir Melayu dan Islam,” katanya.

Ramli kemudian mengingatkan semua Ahli Parlimen supaya lebih berhati-hati ketika membangkitkan isu berkaitan kaum dan agama bagi mengelakkan perkara yang boleh menimbulkan ketegangan atau rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat.

Susulan itu, sesi perbahasan diteruskan semula oleh Amirudin selepas masa perbahasannya ditambah oleh Timbalan Speaker.

Kekecohan berkenaan berlaku ketika Dewan Rakyat sedang membahaskan laporan RCI Tabung Haji, yang turut menyentuh isu pengurusan dana dan perkara berkaitan transaksi serta keputusan pelaburan institusi berkenaan.

LEAVE A RESPONSE